Najib lihat BN berpeluang tubuh kerajaan pada PRU akan datang

Najib lihat BN berpeluang tubuh kerajaan pada PRU akan datang

Kota Kinabalu: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melihat Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu berkata, dalam konteks Sabah perlunya ditunjukkan bahawa BN bukan sebagai parti dari Semenanjung.

“Apa yang berlaku di sabah ini banyak bergantung kepada apa yang berlaku di Semenanjung. Di Semenanjung nampaknya angin bertiup ke arah BN.

“Kebanyakkan orang berpendapat BN ada peluang yang terbaik untuk tubuhkan kerajaan apabila tiba masa PRU. Dalam konteks Sabah, kita kena tunjukkan bahawa BN ini bukan parti dari Semenanjung. Bn ialah parti yang dikuasai oleh orang Sabah dan dalam gagasan di bawah satu payung yang besar.

“Jadi bila kita bawa gagasan di bawah payung yang lebih besar, kita ada kekuatan yang lebih, itu yang kita mesti terapkan kepada orang Sabah,” katanya kepada media selepas hadir pada majlis Santai Petang Bersama Aktivis Maya Sabah di Kolombong, di sini, petang semalam.

Mengulas mengenai majlis yang dihadirinya, beliau mengharapkan sokongan berterusan daripada mereka yang sering berada di laman sosial beliau.

“Ini kali pertama saya dapat berjumpa dengan sosial aktivis di Sabah ini dan selama ini telah menyokong saya memberi ulasan-ulasan yang positif terutama sekali dalam Facebook.

“Saya fikir bersemuka dengan mereka dan semoga sokongan mereka ini berterusan,” katanya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa pertemuan itu adalah untuk tujuan membina hubungan akrab dengan kumpulan sosial aktivis yang banyak menyokongnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|