Keningau: Pemandu maut manakala penumpangnya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas dalam kejadian di Jalan Apin-Apin, berhampiran Kampung Liau Darat, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa lelaki berusia 48 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.30 malam.
Katanya, seramai 11 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kemalangan membabitkan dua mangsa yang menaiki sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Pemandu kenderaan didapati tersepit dan pasukan operasi terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang terbalik,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital yang hadir membantu di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Manakala penumpang lelaki berusia 30-an yang mengalami kecederaan terus diberikan rawatan oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan selanjutnya.
“Pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.54 malam.
-Deasoka