PRU-15 mungkin September atau Oktober – Pemuda UMNO

PRU-15 mungkin September atau Oktober – Pemuda UMNO

Kota Kinabalu: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan pada bila-bila masa dengan jangkaan seawal-awalnya dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau menjangkakan PRU-15 mungkin diadakan pada September atau Oktober depan.

Asyraf berucap pada Pelancaran Jentera Pemuda BN dan Skuad Sabil Putatan.

Katanya, PRU-15 tidak mungkin diadakan pada November atau Disember memandangkan ketika itu musim tengkujuh yang mungkin menyebabkan rakyat sukar keluar jika pilihan raya.

Beliau berkata, PRU-15 perlu disegerakan bagi mendapatkan semula mandat rakyat untuk membentuk kerajaan baharu yang stabil agar masalah dihadapi rakyat ketika ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Asyraf (empat kanan) menyerahkan bendera BN kepada wakil Pemuda PDM sekitar Putatan pada Pelancaran Jentera Pemuda BN dan Skuad Sabil Putatan.

“PRU boleh berlaku bila-bila masa. Kalau ada pihak mahu melambatkan PRU, paling lama pun 11 bulan saja lagi kerana sehingga Julai tahun depan kalau belum bubar lagi, ia akan bubar dengan sendiri. Jadi, kurang daripada 12 bulan mesti PRU.

“Dalam jangkaan saya PRU boleh berlaku seawal dua bulan saja lagi kerana hari ini kerajaan tidak boleh kekal stabil, negara tidak boleh mengelak inflasi dan harga barang naik.

“Apa yang berlaku di luar negara, itu di luar kawalan kita seperti perang Russia – Ukraine, ia menyebabkan banyak komoditi naik harga seperti kacang soya yang kita import hingga 75 peratus,” katanya pada pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Sukarelawan Skuad Sabil Putatan, di sini, petang ini.

Yang turut hadir Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohammad dan Ketua Pemuda UMNO Putatan, Mohd Reduan Aklee.

Asyraf berkata, kenaikan harga ayam di seluruh negara dikaitkan dengan harga dedak yang tinggi berikutan harga importnya naik.

Jelasnya, jika kadar faedah pinjaman bank dinaikkan sebagai satu cara mengelak orang ramai meminjam untuk mengurangkan beban, ia adalah tindakan yang silap kerana rakyat akan tambah tertekan.

“Sebaliknya rakyat akan tambah menderita kerana kadar bayaran balik pinjaman peribadi, perumahan yang sedia ada akan naik jika faedah dinaikkan.

“Cara sewajarnya untuk kita pulihkan keadaan ialah kita perlukan pelabur masuk ke negara kita, buka kilang tetapi mereka takut masuk sekarang sebab takut kerajaan berubah lagi.

“Bayangkan dalam tiga tahun tiga kerajaan dan tiga Perdana Menteri. Apa jaminan agar tidak berlaku perubahan Perdana Menteri kali keempat.

“Sebab itu Pemuda UMNO berpendirian kita kena serah mandat kepada rakyat. PRU mesti disegerakan tetapi jentera kita kena siap sedia dari sekarang,” katanya.

Sementara itu, katanya Putatan menjadi lokasi pertama pelancaran jentera Pemuda BN di Sabah sejajar misi untuk menawan semula Parlimen Putatan daripada Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya, Putatan diletakkan sebagai kerusi Parlimen yang mesti dimenangi BN pada PRU-15 dan menjadi penyumbang kepada kemenangan BN secara keseluruhan pada pilihan raya itu nanti.

Bagi mencapai misi itu, katanya pergerakan Pemuda perlu bergiat aktif menarik anak muda dan mendampingi mereka melalui pelbagai program bagi meningkatkan sokongan terhadap BN.

Katanya, kawasan kubu lawan seperti di Pulau Gaya perlu diberikan tumpuan agar sokongan rakyat di kawasan terbabit beralih semula kepada BN.

“Kita tidak boleh menyalahkan rakyat yang menolak BN pada PRU-14 kerana mereka dijanjikan dengan pelbagai perkara yang sukar ditolak seperti penghapusan hutang PTPTN dan peluang pekerjaan sehingga sejuta.

“Namun, apa yang terjadi selepas menang, janji hanya tinggal janji. Apabila dapat kuasa lupa janji kepada rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|