Sepakan percuma hampakan Sabah

Sepakan percuma hampakan Sabah

Kota Kinabalu: Aksi tegang sepanjang perlawanan yang berakhir dengan sepakan percuma kepada pasukan lawan menggagalkan usaha Sabah FC untuk sekurang-kurangnya mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Sabah terpaksa mengalah selepas dibolosi 2-1 hasil jaringan pemain JDT, Fernando Martin Forestieri, masing-masing pada minit ke-26 dan ke-95, sekali gus mengecewakan lebih 20,000 penyokong Sabah yang membanjiri Stadium Likas.

Sebelum itu, Sabah berjaya bertahan dengan kedudukan 1-1 sehingga tamat 90 minit sebelum pengadil memberi tambahan lima minit yang menyebabkan kedudukan berubah disebabkan sepakan percuma dari luar kotak penalti tiang gol Sabah.

Insiden yang menyebabkan pengadil memberi sepakan percuma kepada JDT pada minit akhir masa tambahan separuh masa kedua itu turut menimbulkan ketegangan di antara pemain kedua-dua pasukan berikutan rasa tidak puas hati pemain Sabah.

Sabah sebelum itu mendahului jaringan hasil kecekapan pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu yang berjaya melakukan rembatan dalam situasi mencemaskan di hadapan gawang JDT pada minit ke-19.

Bagaimanapun, JDT tangkas melakukan serangan balas ke arah gawang Sabah sehingga akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-26 melalui Foresteari.

Aksi selepas itu turut menyaksikan JDT lebih banyak menyerang gawang Sabah, namun gagal menambah sebarang gol sehinggalah wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Bersambung ke babak kedua, rentak permainan agak perlahan, namun JDT dilihat lebih menguasai permainan dan berusaha untuk menambah jaringan sehingga akhirnya berjaya melaksanakannya pada minit akhir melalui sepakan percuma.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|