Seorang maut dalam kemalangan dua kenderaan di Labuan

Seorang maut dalam kemalangan dua kenderaan di Labuan

Labuan: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Pesisir Kerupang Nagalang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Keadaan kedua-dua kenderaan yang mengalami kerosakan selepas kemalangan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, seramai 16 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rancha-Rancha dengan bantuan BBP Layangan digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kemalangan membabitkan kereta Perodua Viva dan kenderaan Toyota Hilux menyebabkan pemandu Perodua Viva tersepit.

“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu Toyota Hilux seorang wanita berusia 29 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi keseluruhan ditamatkan jam 9.35 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|