Sabah tingkatkan usaha tarik pelancong India

Sabah tingkatkan usaha tarik pelancong India

Kota Kinabalu: Sabah akan meningkatkan usaha bagi menarik pelancong India ke negeri ini, memandangkan mereka mewakili pasaran keluar yang paling pesat berkembang.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, industri pelancongan negeri ini terlalu bergantung kepada pelancong Cina sebelum pandemik, dan kini harus mempelbagaikan pangkalan pelanggannya.

“Sabah terkenal dengan pelancongan berasaskan alam sekitar, namun kita juga menawarkan produk kelas atas dan pengalaman pelancongan unik yang akan menarik pengunjung dari India. Mereka berbelanja besar, jadi kita mahu menarik mereka masuk.

“Malah, lebih 6,000 pelancong India datang ke Sabah sebelum pandemik pada 2019, menunjukkan minat yang jelas dalam melawat rantau ini. Walaupun jumlahnya sederhana, ia masih cukup menjanjikan.

“Yakinlah bahawa Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang giat mengejar pasaran India, dan kita berharap dapat melihat peningkatan berterusan dalam ketibaan pada tahun akan datang.

“Saya pasti hubungan langsung antara India dan Sabah akan diwujudkan pada masa hadapan apabila terdapat peningkatan dalam bilangan pelawat India,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada Rabu, Joniston yang juga Pengerusi STB telah menganjurkan makan malam untuk Ejen Pelancongan Pasaran India dari Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang serta wakil-wakil daripada AirAsia, Malaysia Airlines (MAS), and Batik Air.

Mengulas mengenai kekerapan penerbangan setakat in, Joniston berkata, terdapat 163 penerbangan bersambung mingguan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu yang tersedia melalui MAS, Air Asia, dan Batik Air.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 3,247 pelancong daripada India telah tiba di negeri ini, di antara Januari dan Oktober tahun ini.

Terdahulu, pada Selasa, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B. Nagabhushana Reddy telah mengadakan kunjungan hormat kepada Joniston, di mana mereka bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama dan pembangunan pelancongan, antara lain.

Dalam pertemuan itu, Reddy memaklumkan keperluan untuk berkerjasama dengan destinasi popular kerana warga India melancong secara meluas dalam jumlah yang besar di seluruh dunia.

Tambah beliau, sekitar 700,000 pelancong India melawat Malaysia pada 2018 dan hakikat bahawa sebahagian daripada mereka terbang ke Sabah menunjukkan bahawa pelancong India sudah membuat rancangan untuk menikmati sendiri keunikan destinasi tempatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|