Senarai nama calon UMNO Parlimen Kalabakan diputus selepas mesyuarat bahagian – Andi Muhammad Suryady

Senarai nama calon UMNO Parlimen Kalabakan diputus selepas mesyuarat bahagian – Andi Muhammad Suryady

Tawau: UMNO Kalabakan belum memutuskan senarai lima nama calon yang akan dihantar untuk dipilih bagi mewakili parti itu di kerusi Parlimen Kalabakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Andi Muhammad Suryady Bandy bagaimanapun berkata senarai itu akan dibincangkan pada bermesyuarat bahagian dalam masa terdekat.

“UMNO Kalabakan akan bermesyuarat minggu hadapan dan memilih mereka yang dilihat memenuhi kriteria seorang pemimpin sebelum tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran ‘Kembara Keluarga Malaysia 2022 negeri Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, semua bahagian sudah menghantar senarai nama calon pada tahun lalu, namun Ketua UMNO Sabah mahukan lima senarai terkini.

“Pandangan saya, pengerusi mahukan calon yang sesuai dengan keadaan sekarang dan menilai calon yang betul-betul boleh menang,” katanya.

Mengenai sama ada nama beliau termasuk dalam senarai yang akan dihantar, katanya ia terpulang perbincangan pada mesyuarat peringkat bahagian nanti.

“Terlalu awal untuk saya komen senarai nama yang akan dihantar, kita tunggu mesyuarat itu nanti, tetapi pastinya calon itu perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta semua bahagian UMNO di negeri ini mengemukakan segera lima senarai calon untuk dipilih mewakili parti pada PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|