RM21.3 juta kerugian kes penipuan atas talian di Sabah setakat Julai

RM21.3 juta kerugian kes penipuan atas talian di Sabah setakat Julai

Ranau: Polis Sabah merekodkan sebanyak 535 kes penipuan atas talian di Sabah dengan nilai kerugian mencecah RM21.3 juta bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu jelas meningkat berbanding pada tahun lalu yang mencatatkan kerugian RM25 juta bagi tempoh 12 bulan membabitkan 1,148 kes.

Jonathan pada program pencegahan jenayah dalam talian di Ranau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, statistik berkenaan membuktikan peningkatan sentiasa berlaku saban tahun membabitkan jumlah kes dan nilai kerugian.

Katanya, dalam usaha mengawal peningkatan kes penipuan itu, polis terus mempergiatkan tangkapan membabitkan kes berkenaan.

Jonathan (kiri) meninjau pameran PDRM pada program pencegahan jenayah dalam talian di Ranau.

“Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, polis sudah menahan seramai 679 tangkapan menbabitkan kes penipuan atas talian yang berlaku di Sabah.

“Jumlah itu ternyata meningkat berbanding 706 tangkapan bagi tempoh 12 bulan tahun 2021 dan 855 tangkapan tahun 2020,” katanya, di sini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, Datuk Zabidi Md Zain.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri II merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin dan Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos.

Idris berkata, walaupun pelbagai usaha siasatan, tangkapan dan pendakwaan dilaksanakan polis Sabah, namun masih ada lagi masyarakat yang tertipu dengan helah ‘scammer’ ini.

Oleh itu katanya, polis Sabah terus meningkatkan usaha dengan melaksanakan beberapa pendekatan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 191 aktiviti kesedaran sudah dilaksanakan berbanding 156 kempen pada tahun lalu,” katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata, polis akan terus mempergiatkan usaha termasuk mengajak masyarakat supaya menjadi rakan strategik terpenting dengan slogan ‘Let’s Fight Scammer Together’.

Katanya, beliau berharap segala ilmu yang diperolehi menerusi kempen pencegahan jenayah dapat dimanfaatkan dan dikongsikan bersama keluarga, rakan-rakan dan masyarakat agar tidak menjadi mangsa penipuan atas talian.

Sementara itu, Jonathan ketika ditemui berkata, kempen yang dianjurkan seperti ini akan dapat membantu memberi kesedaran dan pededahan kepada masyarakat.

Katanya, beliau berharap masyarakat selepas ini akan lebih celik dan berusaha mencari informasi bagi mengelakkan daripada terus menjadi mangsa penipuan atas talian.

“Masyarakat boleh membuat semakan sama ada dengan polis ataupun bank-bank terlibat sebelum sebarang tindakan diambil.

“Jangan terlalu percaya dengan orang yang membuat panggilan tanpa kita ketahui latar belakang mereka. Sekiranya perkara itu dirujuk dengan pihak berkuasa, jenayah ini akan dapat dicegah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|