4,250 kilogram minyak masak subsidi, cuba diseludup

4,250 kilogram minyak masak subsidi, cuba diseludup

Semporna: Polis berjaya merampas 4,250 kilogram minyak masak yang dipercayai cuba diseludup dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kebun Bunga, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 3 pagi itu, semua minyak masak bersubsidi itu dipercayai disembunyikan di dalam rumah berkenaan sebelum diseludup untuk pasaran negara jiran.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Farhan Lee Abdullah berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui sebanyak 250 kotak yang masing-masing 17 kilogram berisi minyak masak bersubsidi.

“Siasatan mendapati rumah berkenaan dipercayai dijadikan tempat mengumpul dan menyimpan barang kawalan sebelum diseludup.

“Pasukan operasi terus merampas semua minyak masak berkenaan dan dibawa balik ke IPD Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, semua minyak masak berkenaan dianggarkan bernilai RM10,625 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1061 bagi mengenalpasti pihak yang terlibat.

Sementara itu, Mohd Farhan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan barang kawalan supaya membantu menyalurkan maklumat untuk tindakan penguatkuasaan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada polis atau terus ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Pihak IPD Semporna mengucapkan terima kasih atas maklumat awam yang membawa kepada kejayaan rampasan kali ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|