John Ghani keluar PKR, hilang kepercayaan terhadap parti

John Ghani keluar PKR, hilang kepercayaan terhadap parti

Kota Kinabalu: Veteran politik, Datuk John OT Ghani, hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti itu.

Bekas Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah itu juga mengaku tidak gembira dengan pengguguran Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi MPN yang diganti Datuk Sangkar Rasam.

“Saya tinggalkan PKR kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan berkaitan dengan tindakan parti yang menandatangani memorandum persefahamam (MoU) yang dilihat tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada parti.

“Sebab itu saya tidak gembira, sepatutnya Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menjelaskan perkara itu supaya rakyat tidak keliru dan disebabkan itu tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) kita teruk, itu kesan daripada menandatangani MoU,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Cabang Beaufort berkata, kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah baru-baru ini bukan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di Sabah sebaliknya menggugurkan Pengerusi MPN Sabah.

“Saya mengharapkan beliau sebab di Sabah ada dua kem dan bukan dia tidak tahu.

” Kita berharap kedatangan Datuk Seri Anwar itu untuk menyelesaikan masalah tetapi tidak,” katanya.

Tambah beliau lagi, tindakan Presiden itu dijangka akan memberi kesan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Untuk mengubah pemimpin boleh bila-bila masa saja tetapi masa tidak sesuai pada waktu ini kerana kita mahu menghadapi PRU-15.

“Dengan pelantikan baharu ini dan mengugurkan Christina kesannya, kita akan hilang kerusi di Tawau dan akan hilang di Putatan,” katanya.

Baru-baru ini Datuk Sangkar Rasam yang juga Ketua Cabang PKR Keningau dilantik sebagai Pengerusi MPN Sabah yang baharu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|