Sahut kempen Kibar Jalur Gemilang

Sahut kempen Kibar Jalur Gemilang

Tawau: Penduduk di daerah ini diminta menyahut seruan kerajaan supaya mengibarkan Jalur Gemilang sempena menyambut bulan kemerdekaan negara.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata orang ranai juga dipelawa sama-sama memeriahkan pelbagai program yang dilaksanakan sempena sambutan bulan kemerdekaan kali ini.

Andi Muhammad Suryady bersama warga Tawau memeriahkan program ‘Kembara Keluarga Malaysia 2022 negeri Sabah sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di Tawau.

Beliau berkata, rakyat perlu bersama-sama menyokong program yang dijalankan bagi menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam diri masing-masing.

“Kita harus bersyukur dan berbangga menjadi sebahagian daripada rakyat negara berdaulat yang aman tanpa sebarang penjajahan pihak luar.

“Justeru, sebagai menzahirkan rasa kesyukuran di atas nikmat kemerdekaan, semua penduduk di daerah ini dapat mengibarkan bendera kebangsaan di rumah dan premis masing-masing sepanjang bulan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian pada majlis pelancaran ‘Kembara Keluarga Malaysia 2022 negeri Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang; Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisiner Jasmin Hussin; Ketua Daerah Tawau, Kee Jamal Kee Sulaiman; Ketua Konvoi Kembara Merdeka, Razif Hashim dan Pegawai Penerangan Tawau, Azuary Abdul Azis.

Program kembara yang disertai 11 agensi kerajaan itu diharapkan dapat menyampaikan mesej kepada seluruh rakyat Sabah untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

“Tahniah kepada semua agensi terlibat terutamanya Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah atas usaha menggelorakan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.

“Semangat ini harus dipuji kerana usaha mereka menjayakan mesej perpaduan, patriotisme dan menerapkan keamanan dalam kalangan rakyat khususnya di negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Suryady berkata pihaknya juga menjalankan program sempena bulan kemerdekaan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu.

“Kami sudah menjalankan program itu di Kampung Tanjung Batu Darat dan Laut. Program itu akan diteruskan di kampung lain sepanjaang bulan ini.

“Selain itu, kita juga mengadakan pertandingan bendera terpanjang terbuka penduduk Tawau untuk memecahkan rekod bendera sepanjang 1.5 kilometer sebelum ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|