Tawau: Cubaan empat lelaki warga asing bersembunyi di kawasan Kilang Batu, di Kampung Batu Payung, di sini, gagal memperdayakan pihak berkuasa apabila semua mereka berjaya ditahan pasukan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2), hari ini.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, semua warga asing berusia 18 hingga 24 tahun itu dipercayai baru sampai dari negara jiran dan cuba masuk untuk bekerja di negara ini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan ATB2 berkata, maklumat berhubung empat warga Indonesia itu diperolehi hasil maklumat yang disalurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Payung.
Katanya, bertindak atas maklumat, pasukan QRF terus melaksanakan rondaan dan berjaya mengesan semua suspek bersembunyi di sekitar kawasan Kilang Batu di kampung berkenaan.
“Pasukan operasi terus bertindak menahan dan membuat pemeriksaan awal dokumen terhadap semua suspek.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, semua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta tiada permit kerja dan tiada cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah dan berada di Malaysia secara haram,” katanya.
Menurutnya, semua PATI memaklumkan mereka berasal dari Indonesia dan masuk ke Sabah bertujuan untuk bekerja.
“Semua PATI terus dibawa ke Balai Polis Bandar Sri Indah, Tawau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut PDRM Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sementara itu, Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada semua anggota bertugas di POWB ATB 2, Tim Ronda Pos Tinagat, PDRM, Imigresen dan JKKK atas kejayaan berkenaan.
Katanya, kerjasama yang erat melalui perkongsian maklumat secara lebih konstruktif di antara agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam aturgerak operasi di Perairan Pantai Timur Sabah membuktikan fungsi dan peranan pasukan keselamatan.
“Ia mampu menjamin keselamatan dan kemakmuran Perairan Pantai Timur Sabah sentiasa berada ditahap yang terbaik.
“ATB 2 akan sentiasa mempertingkatkan jaringan kerjasama secara berterusan dengan pelbagai agensi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dari terus berlaku,” katanya.
Abdul Karim berkata, pasukan ATB 2 akan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi yang optimum melalui aturgerak kelengkapan berteknologi tinggi dalam mengesan sebarang pencerobohan di perairan negara.
Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di Pantai Timur Sabah.
-Deasoka