Kota Kinabalu: Sebuah bengkel kereta yang menempatkan 15 kenderaan terbakar dalam kejadian di Jalan Tuaran Bypass, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, ketangkasan pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman berjaya menyelamatkan hampir 50 peratus daripada struktur bangunan bengkel berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.14 petang.
Katanya, seramai 11 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kejadian membabitkan sebuah bengkel kereta jenis kekal berukuran 334 meter persegi bersama 15 kenderaan yang berada lokasi.
“Operasi pemadaman terus dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dengan dua pancutan dari sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan serta kematian dan api berjaya dikawal pada jam 6.43 petang.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.46 malam.
-Deasoka