Semak segera perjanjian, kontrak agensi dan GLC negeri yang merugikan – Hajiji

Semak segera perjanjian, kontrak agensi dan GLC negeri yang merugikan – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semakan segera terhadap perjanjian dan kontrak semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang tidak mencatat prestasi memuaskan serta merugikan kerajaan.

Beliau turut mengingatkan kepada pegawai yang ditugaskan untuk memeterai perjanjian dan kontrak terbabit supaya mengambil kira kepentingan negeri.

Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah Siri Ke-120 Bil 1/2022, di Menara Kinabalu.

“Sebab itu saya ingin menegaskan di sini mana-mana agensi kerajaan apabila buat perjanjian, pastikan (perjanjian) itu mengambil kira kepentingan negeri.

“Pegawai yang terbabit, termasuk pegawai undang-undang kena tengok dan baca dengan teliti setiap isi kandungan perjanjian,” ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah Siri Ke-120 Bil 1/2022, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan; Pengarah Yayasan Sabah selaku Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan; Lembaga Pemegang Amanah dan pegawai kanan Yayasan Sabah.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah turut merakamkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sabah yang baharu iaitu Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Zainudin Aman dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman.

Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengumumkan pencapaian ICSB selaku jentera pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah yang berjaya meningkatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM424 juta pada tahun lalu berbanding RM112 juta pada 2020.

“Kenaikan ini adalah sebanyak RM312 juta atau empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Ini sekali gus menjadikan kenaikan tertinggi yang dicatat oleh ICSB dalam tempoh sembilan tahun,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, bagi pendapatan Kumpulan ICSB, berlaku kenaikan ketara daripada RM819 juta pada 2020 kepada RM1.2 bilion pada 2021.

Peningkatan sebanyak 45 peratus atau RM369 juta itu katanya adalah yang tertinggi dicatatkan oleh ICSB sejak 2013.

“Bagi Kumpulan Yayasan Sabah pula, lebihan (surplus) sebelum cukai pada 2021 ialah RM358.12 juta, berbanding lebihan pendapatan sebelum cukai pada 2020 sebanyak RM18.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM339.62 juta atau 1836 peratus,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan ketara dalam lebihan pendapatan sebelum cukai pada 2021 adalah disebabkan peningkatan hasil pada 2021 yang berjumlah RM1.2 bilion berbanding pendapatan pada 2020 yang berjumlah RM830.43 juta.

Katanya, beliau juga mahu melihat anak-anak syarikat ICSB diperkasakan agar tidak menjadi bebanan dan masalah kepada Yayasan Sabah.

“Pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Board Of Governor UCSF (University College Sabah Foundation) dan Naib Canselor baharu umpamanya, kita harap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi UCSF.

“Begitu juga dengan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), saya mahu masalah yang dihadapi dapat diatasi dengan pantas dan dapat menarik lebih ramai pelajar baharu sekali gus membuka peluang lebih ramai anak Sabah melanjutkan pelajaran khususnya dalam bidang teknikal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|