Jadi ‘mata dan telinga’, bantu tangani isu kenaikan harga barang – Shahelmey

Jadi ‘mata dan telinga’, bantu tangani isu kenaikan harga barang – Shahelmey

Kota Kinabalu: Rakyat di negeri ini diminta untuk terus menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa bagi mengekang senario kenaikan harga barang di luar munasabah secara berleluasa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, orang ramai turut dinasihatkan menggunakan hak mereka sebagai pengguna dengan membuat aduan atau laporan, sekiranya terdapat aktiviti berkenaan.

Jelas beliau, ini sekali gus dapat mengawal dan menyekat sebarang usaha daripada pihak berkaitan yang cuba atau sedang mengambil kesempatan dalam situasi terkini melibatkan senario kenaikan harga barang.

Tambahnya lagi, laporkan terus kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya tindakan pemeriksaan atau penguatkuasaan segera dapat dilakukan.

“Kita berharap supaya pengguna dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat prihatin dan bertanggungjawab dalam membantu kerajaan dengan melapor kepada pihak berkuasa (KPDNHEP).

“Ia mengenai isu sekiranya terdapat kekurangan bahan keperluan harian atau ketidakpatuhan harga sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.

“Lapor kepada KPDNHEP jika ada kesalahan seperti barang keperluan di jual dengan harga melebihi harga kawalan atau sebagainya, supaya penguatkuasaan segera dilakukan untuk membendung perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam rancangan bual bicara Kami Bah Ini kelolaan RTM TV1 Sabah, di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) di sini, semalam.

Terdahulu, dalam rancangan yang dihadirinya, beliau turut berkesempatan berkongsi perbincangan topik terhadap perkembangan semasa terutama mengenai usaha progresif kerajaan mengawal kadar kenaikan harga barang untuk mengurangkan beban rakyat di negeri ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Shahelmey pada masa sama mendedahkan kerajaan kini sedang menjalankan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang merupakan salah satu inisiatif meringkan beban dan peningkatan kos sara hidup.

“Sebelum ini PJKM dilakukan dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen. Namun bermula bulan ini, PJKM dilaksanakan setiap bulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ia memberi peluang kepada pengguna kita untuk membeli barangan keperluan harian mereka pada harga yang lebih murah dan juga kompetitif,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diumumkan Perdana Menteri pada Rabu lalu, Shahelmey berkata beliau menyambut baik penubuhan pasukan tersebut.

“Saya amat mengalu-alukan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini.

“Ianya agar tidak ada penyalahgunaan atau unsur-unsur mengambil kesempatan dalam situasi kenaikan harga barang yang sedang kita hadapi pada masa ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|