Nabawan: Seramai 396 peserta dari Sook dan Nabawan akan mendapat lesen memandu motosikal selepas dipilih untuk mengikuti program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) bagi peringkat Parlimen Pensiangan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Parlimen Pensiangan telah dipilih sebagai lokasi pertama di Sabah bagi menjayakan program itu.
“Seramai 396 Keluarga Malaysia yang berusia 16 hingga 60 tahun di bawah Parlimen Pensiangan telah dipilih bagi mengikuti program BLKM ini dan akan mendapat lesen memandu motosikal di samping memperolehi maklumat berkenaan dengan peraturan jalan raya.
“Pemilikan lesen kelas B2 ini akan dapat membantu masyarakat B40 di Sabah khususnya belia di Parlimen Pensiangan untuk memanfaatkan bantuan berkenaan dengan mengambil inisiatif mencari dan meningkatkan pendapatan melalui pekerjaan atau memulakan peniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, ” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Program BLKM Peringkat Parlimen Pensiangan, Zon 1 Nabawan, di sini, semalam.
Arthur mengingatkan agar penerima BLKM akan menjadi contoh pengguna jalan raya yang berdisiplin dan berhemah dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Pemanduan yang berhemah dan berdisplin akan menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya di negara.
“Ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.
Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan menyifatkan pemberian bantuan lesen memandu itu selari dengan usaha yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan berkenaan.
“Antara usaha-usaha yang giat dilaksanakan merangkumi infrastruktur perhubungan darat seperti pembinaan jalan Sapulut ke Salung ke Pagalungan sehingga ke Pensiangan, Jalan Kampung Sinaron ke Kampung Linayukan di Tongod dan juga pembinaan baharu serta menaik taraf menara telekomunikasi bagi memperluaskan akses telekomunikasi di Parlimen ini, “katanya.
Sehubungan itu, Arthur percaya usaha meningkatkan ketersambungan perhubungan darat dan jaringan telekomunikasi adalah penting bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk penduduk setempat.
-Deasoka