Sipitang: Seramai 30 peserta Kelab Berbasikal Tarikk Siss Kampung Pohon Batu, Labuan mengikuti Fun Ride bersama pasukan dari Sipitang dan Lawas pada 1 dan 2 Julai lalu.
Dari Labuan, peserta kelab dilepaskan Ketua Kampung Pohon Batu, Haryadi Omar di Terminal Feri Labuan sebelum bertolak ke Sipitang.
Pengerusi Kelab Berbasikal Tarikk Siss Kampung Pohon Batu, Rozana Kamis berkata pada hari pertama peserta yang terdiri daripada enam lelaki dan 24 perempuan itu berkumpul di Esplanede Sipitang, di sini, sebelum memulakan kayuhan.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan cenderamata kepada ketua pasukan Kelab Berbasikal Sipitang.
Katanya, kayuhan sejauh 23 kilometer itu bermula jam 4.30 petang dan berakhir kira-kira jam 6.30 petang.
“Kayuhan sejauh 23 kilometer bermula dari Esplanede Sipitang menuju ke Kampung Naparan, Sungai Bubus, Mesapol, Kalamauh dan Pelakat.
“Memang menyeronokkan bersama rakan-rakan dari Sipitang sambil menikmati pemandangan menarik sepanjang perjalanan,” katanya.
Pada hari kedua, katanya peserta berkumpul di Merapok, Lawas pada jam 6 pagi dan memulakan kayuhan santai ke Kampung Pemukat dan Kampung Nur Islam Laut sebelum tamat di Waterfront, Lawas, Sarawak.
“Walaupun penat selepas berkayuh sejauh 38 kilometer namun peserta gembira dapat menyertai program itu sambil beramah mesra dan berkenalan dengan rakan-rakan dari Lawas,” katanya.
Beliau gembira kerana program itu berjalan lancar walaupun pertama kali diadakan disebabkan komitmen peserta dan kerjasama erat Kelab Berbasikal Sipitang dan Lawas.
Rozana tidak lupa menjemput rakan-rakan Kelab Berbasikal dari Sipitang dan Lawas untuk mengadakan kayuhan di Wilayah Persekutuan Labuan pada masa akan datang.
“Memang ada rancangan peserta dari Sabah dan Sarawak akan berkunjung ke Wilayah Persekutuan Labuan sebelum akhir tahun ini,” katanya.
-Deasoka