Tuaran: Tiga parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi 10 meter, di Jalan Tamapruli-Kiulu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, seorang lagi mangsa yang turut menaiki Toyota Hilux SR berkenaan bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.57 malam.
Katanya, seramai enam pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, keempat-empat mangsa berusia 12 hingga 44 tahun itu sudah dikeluarkan dengan bantuan pekerja pembinaan dan orang awam.
“Semua mangsa terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan EMRS dan ambulans untuk rawatan selanjutnya.
Katanya, pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.55 tengah malam.
-Deasoka