Selesai segera masalah air di Lahad Datu – Mohamaddin Ketapi

Selesai segera masalah air di Lahad Datu – Mohamaddin Ketapi

Lahad Datu: Beberapa kawasan di daerah ini kerap kali mengalami gangguan bekalan air sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan kepada orang ramai.

Antaranya di Kampung Ulu Segama, Jalan Dam, Pangsapuri Mutiara Kasih dan Perumahan Indah Permai, bukan baru dialami, sebaliknya berlarutan sejak sekian lama seperti tiada penghujungnya.

Lebih menyeksakan, penduduk di kawasan terbabit terpaksa berdepan gangguan bekalan air antara seminggu hingga dua minggu dalam tempoh sebulan.

Rungutan dan aduan juga sudah banyak kali dibuat oleh penduduk terlibat meminta isu air itu diatasi segera agar tidak berterusan membebankan kehidupan mereka.

Mengulas isu berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kerajaan negeri perlu segera menyelesaikan isu air yang sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya itu.

Mohamaddin berkata, ketika menjadi menteri persekutuan sebelum ini, beliau telah membawa rancangan projek loji air di Lahad Datu, namun sehingga kini, status pembinaan loji air berkenaan belum dapat dipastikan lagi.

“Saya berharap rancangan pembinaan loji air yang dicadangkan dibina di Sri Putatan dapat dijalankan bagi menyelesaikan isu air bukan sahaja di beberapa kawasan tertentu yang mengalami masalah air, tetapi seluruh bandar Lahad Datu.

“Selain pelan jangka panjang seperti loji air ini, saya mencadangkan projek bekalan air alternatif (graviti) dan bantuan tempat penyimpanan air (water tank) dilakukan kerana masalah air bagi kawasan Kampung Ulu Segama sangat kritikal.

“Kita berharap pelan jangka pendek oleh pihak berwajib dapat dilakukan kerana ramai yang terkesan akibat masalah air di daerah ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelasnya lagi, ketiadaan air yang berlarutan sehingga seminggu sangat membebankan penduduk di daerah ini.

“Sangat membebankan penduduk jika gangguan air berlarutan sehingga seminggu. Kalau tidak cukup bajet, saya cuba mencari dana untuk bantuan tangki.

“Selain itu, pihak berwajib diminta supaya pembaikan isu paip dan booster pump di kawasan Dam Road, Pangsapuri Mutiara Kasih dibuat dengan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|