Selaraskan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir di Tenom

Kota Kinabalu: Kerajaan persekutuan digesa supaya menyelaraskan bantuan sebanyak RM1,000 kepada setiap isi rumah mangsa banjir di daerah Tenom.

Ia seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bencana banjir yang melanda negeri Selangor dan beberapa negeri lain, tahun lalu.

Raimie melawat sambil menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Tenom.

Ketua Bahagian UMNO Tenom, Datuk Raime Unggi berkata, bencana banjir yang berlaku sejak tiga hari lalu sememangnya menyukarkan dan merugikan ramai pihak.

Katanya, penduduk bukan saja terpaksa berdepan kerugian ekoran tanaman dan haiwan peliharaan terjejas tetapi juga kerosakan rumah akibat banjir kali ini.

“Saya berharap, Perdana Menteri dapat mengambil perhatian terhadap masalah dihadapi penduduk Tenom yang terjejas akibat banjir kali ini.

“Berikanlah bantuan seperti diumumkan ketika bencana banjir yang melanda beberapa negeri di semenanjung Malaysia tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas meninjau dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa kampung di Tenom, hari ini.

Raime berkata, sebelum ini, mangsa banjir di Tenom hanya menerima bantuan sebanyak RM500 dan jumlah penerima juga amat sedikit berbanding senarai awal diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, beliau yang juga salah seorang ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tenom menghantar lebih 1,000 nama Ketua Isi Rumah (KIR).

“Namun, kebanyakan nama mangsa banjir yang sepatutnya menerima bantuan ‘dipotong’ oleh MKN sehinggakan hanya beberapa ratus saja penerima diberikan bantuan.

“Kita berharap, perkara seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang. Semua nama yang dihantar sememangnya amat memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Raime berkata, kejadian banjir kali ini turut menyebabkan beberapa kampung terputus hubungan apabila jalan raya ditenggelami air.

Malah katanya, ia juga menyebabkan kebanyakan kampung berkenaan terputus bekalan air bersih.

“Hari ini, UMNO Bahagian Tenom bersama pimpinan Pemuda bekerjasama dalam menghantar bekalan air bersih dan makanan untuk penduduk terjejas.

“Antara kampung yang terjejas teruk akibat banjir adalah Kampung (Kg) Enubai, Kg Kalasasan dan Kg Paal Sebrang.

“Hari ini, pasukan UMNO Tenom berjaya masuk sehingga ke lokasi perkampungan terjejas ini untuk menghantar bantuan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Raime turut memuji tindakan cekap JPBN dalam memastikan semua mangsa terlibat dapat dibantu sebaiknya.

Katanya, ramai mangsa yang amat terkesan dengan bencana kali ini termasuk mereka yang baru melahirkan anak serta pesakit-pesakit kronik.

Sejak kejadian banjir tiga hari lalu, sebanyak 22 kampung sekitar daerah ini dinaiki air dan 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa banjir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|