Tuaran: Semua wakil rakyat dan pemimpin di negeri ini diingatkan supaya tidak menunggu sehingga timbul masalah di kawasan masing-masing sebelum mengambil tindakan.
Sebaliknya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa setiap wakil rakyat dan pemimpin agar sentiasa mendengar suara akar umbi dan mendekati rakyat untuk memahami aspirasi mereka dengan lebih baik.
Beliau berkata pendekatan turun padang untuk menemui rakyat dan bertanya masalah mereka perlu dijadikan amalan berterusan setiap wakil rakyat dan pemimpin.
“Saya meminta semua wakil rakyat dan pemimpin supaya tidak menghentikan pendekatan turun padang untuk berjumpa rakyat, mengenal pasti masalah dihadapi mereka dan pada masa sama mengatasi apa saja isu di kawasan masing-masing.
“Jangan tunggu sehingga timbul masalah, sebaliknya semua pemimpin perlu sentiasa dekat dengan rakyat untuk memenangi hati dan minda mereka,” katanya pada sambutan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Tuaran di Dewan Seri Sulaman, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya dan Pengerusi Penganjur, Syahrin Samsir.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, turut mengarahkan semua Pegawai Daerah dan penjawat awam di agensi yang berkaitan supaya sentiasa proaktif dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
“Mereka diamanahkan untuk menyelesaikan masalah rakyat, terutama di kawasan luar bandar, selain memaklumkan semua usaha atau tindakan dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin masyarakat juga memainkan peranan penting berikutan berada di kedudukan yang baik untuk membawa perubahan.
“Sentiasa dengar akar umbi dan ambil berat keperluan mereka. Dengan melakukannya, pemimpin akar umbi juga dapat menyampaikan semua pelan pembangunan kerajaan yang bermanfaat kepada rakyat.
“Dengan cara ini, rakyat tidak mudah dipengaruhi berita palsu dan pelbagai taktik untuk menipu mereka,” katanya.
Katanya, perkara itu menjadi aspirasi kerajaan supaya semua lapisan rakyat dapat terus bersatu dan memberi tumpuan ke satu arah selain tidak terganggu dengan perkara yang menghalang kemajuan.
Jelasnya lagi, kerajaan menyediakan pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membangunkan rakyat dan negeri ini.
“Kita mahu membawa lebih banyak pembangunan termasuk menarik sebanyak mungkin pelaburan domestik dan antarabangsa berimpak tinggi ke Sabah,” katanya.
Pada masa sama, Hajiji menyeru rakyat negeri ini supaya menyokong kerajaan supaya usaha untuk membangunkan negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Terdahulu, Hajiji berkata Pesta Kaamatan mesti terus dijadikan platform perpaduan kepada masyarakat pelbagai budaya di negeri ini.
-Deasoka