Piala FA: Amri taruhan utama Sang Badak tundukkan Kelantan United esok

Piala FA: Amri taruhan utama Sang Badak tundukkan Kelantan United esok

Kota Kinabalu: Prestasi cemerlang pemain berpengalaman, Mohd Amri Yahyah menjadi taruhan utama menggalas cabaran pemain Sabah FC menentang Kelantan United FC dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas, malam esok.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata Amri dan pemain lain akan menggalas tugas penting selepas pemain import Neto Pessoa belum pulih sepenuhnya dan kemungkinan besar tidak akan diturunkan.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee

Katanya, pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani juga tidak dapat bersama skuad Sang Badak esok kerana menyertai pasukan bola sepak negaranya dalam kejohanan Sukan Sea di Hanoi, Vietnam.

“Namun begitu kesebelasan utama hanya akan ditentukan sebelum sepak mula malam esok. Jangan risau kita mempunyai banyak pilihan pemain.

“Kita harus memikirkan beberapa faktor serta tujuan untuk kita bermain bagi memastikan Sabah FC dapat melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kim Swee berkata, ketika ini tahap kecergasan pemain Sabah FC berada pada tahap cemerlang dan fokus kepada perlawanan penting bagi memperolehi keputusan yang baik.

Tegasnya, beliau tetap menganggap perlawanan malam esok sangat penting walaupun pasukan Kelantan United kini bermain dalam Liga Perdana.

“Apabila pasukan Liga Premier menentang Sabah FC mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempamerkan mutu persembahan terbaik sekali gus ingin membuktikan mereka juga boleh bersaing dengan kelab-kelab Liga Super di negara ini.

“Kita tidak mahu pemain Sabah FC mengambil mudah perlawanan malam esok. Semua pemain perlu menunjukkan kesungguhan mereka lebih-lebih lagi apabila bermain di gelanggang serta di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Kim Swee berharap penyokong tegar Sabah FC turun beramai-ramai ke Stadium Likas malam esok bagi memberikan sokongan padu kepada skuad Sang Badak.

Perlawanan menentang Kelantan United FC esok adalah siri kalah mati yang akan menentukan sama ada Sabah FC dapat melangkah ke perlawanan seterusnya atau tidak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|