Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengesyorkan yuran pengadil di negeri ini diseragamkan bagi membolehkan sebarang penganjuran kejohanan bola sepak berjalan lancar.
Berikutan itu, Pengerusi Pembangunan Kepengadilan Negeri, Dr Sani Tari turut diminta menyediakan kadar bayaran yang berpatutan untuk diperhalusi sebelum ketetapan kadar yang sesuai diputuskan.
Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar berkata, dengan penyeragaman kadar bayaran itu akan dapat membantu memudahkan sebarang penganjuran kejohanan bola sepak di negeri ini.
Katanya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan jawatankuasa pembangunan pengadil negeri supaya satu kadar bayaran yang munasabah dapat ditetapkan.
“Kita sudah berbincang dengan pengerusi jawatankuasa berkenaan dan satu kadar bayaran yang seragam akan dapat diputuskan dalam masa terdekat.
“Penyeragaman itu akan pasti memantapkan dan memudahkan lagi penganjuran sebarang kejohanan pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di pejabat SAFA, semalam.
Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) SAFA berkata, Dr Sani akan menjadi pengerusi bersama seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Mustapha Tuah.
Katanya, ia adalah sebuah jawatankuasa yang dianggotai beberapa lagi pegawai SAFA dan pengadil dalam JKPT SAFA.
“Perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat JKPT dan wakil pengadil di pejabat SAFA pada Rabu.
“Saya percaya dengan langkah menyeragamkan bayaran pengadil itu akan mengelak sebarang kekeliruan berhubung bayaran pengadil di semua daerah di negeri ini.
“Kita banyak menerima rungutan mengenai kadar bayaran pengadil yang tidak seragam ini dari SAFA daerah sebelum ini,” ujarnya.
Justeru, Azman berkata, sudah tiba masanya perkara ini diselesaikan bagi memudahkan mana-mana pihak menganjurkan kejohanan bola sepak di peringkat kampung, daerah dan negeri.
Katanya, langkah ini juga sebagai salah satu usaha dalam memantapkan lagi pembangunan bola sepak serta kepengadilan di negeri ini.
“Ia termasuk dapat memastikan semua pengadil yang ada di negeri ini berdaftar dan mempunyai kelayakan sepatutnya di samping dapat bersama-sama memainkan peranan seiring dengan badan bola sepak untuk memajukan sukan bola sepak.
“Perbincangan antara kedua-dua pihak juga akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa termasuk dalam usaha penganjuran pertandingan bola sepak yang dikendali JKPT SAFA,” katanya.
-Deasoka