Selangor hampakan Sabah di Likas

Selangor hampakan Sabah di Likas

Kota Kinabalu: Usaha Sabah FC untuk menewaskan Selangor FC selepas kekalahan dalam aksi suku akhir Piala FA Julai lalu hampa apabila tewas lagi dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Sabah tewas 3-2 selepas gagal mempertahankan kedudukan yang terikat 2-2 sebelum tamat separuh masa pertama dalam aksi malam ini.

Aksi Embalo selepas berjaya menjaringkan gol pertamanya dalam aksi Liga Super Sabah vs Selangor di Stadium Likas. Pix ihsan Mohd Adam Arinin

Gol ketiga yang membawa kemenangan kepada Selangor itu terhasil pada minit ke-75 hasil rembatan pemain importnya, Hein Htet.

Skuad Sang Badak ketinggalan bermula pada minit ke-23 selepas pemain Selangor, Mukhairi Ajmal mendahului jaringan pasukan lawan.

Selangor juga tidak menunggu lama untuk mengukuhkan kedudukan pada babak pertama permainan apabila berjaya merembat satu lagi gol seminit kemudian melalui Brendan Gan menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-24.

Bagaimanapun, kapten tuan rumah, Baddrol Bakhtiar akhirnya berjaya merapatkan jurang pada minit ke-29 hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Berselang 11 minit kemudian, pemain import Sabah, Jose Embalo pula berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan leret ke arah gawang Selangor.

Jaringan pada minit ke-40 itu adalah gol pertama penyerang baharu Sang Badak itu yang sebelum ini dikritik penyokong Sabah kerana aksi yang kurang menonjol.

Usaha Sabah untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan selepas minit ke-75 tidak berhasil, menyebabkan kedudukan 3-2 yang memihak kepada Selangor kekal hingga tamat permainan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|