Dua cedera, kereta masuk gaung

Dua cedera, kereta masuk gaung

Kota Marudu: Dua lelaki berdepan detik cemas selepas kereta yang dinaiki terjunam ke dalam gaung, di Kampung Mempakat, Pitas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kedua-dua lelaki berusia 50-an terbabit dilaporkan mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Anggota bomba menyelamatkan mangsa selepas kenderaan yang naiki terbabas masuk ke dalam gaung.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.13 malam.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat jenis Toyota Vigo yang terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi kira-kira 14 meter.

“Pasukan bomba kemudiannya bertindak menaikkan mangsa menggunakan Stretcher dan Tali Penyelamat (sistem takal),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke Hospital Kota Marudu menggunakan Ambulan untuk rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.25 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|