Mohamad Danish Danial, juara MSSM Golf

Mohamad Danish Danial, juara MSSM Golf

Kota Kinabalu: Permata sukan golf cilik negeri, Mohamad Danish Danial Md Jumat mencipta sejarah apabila dinobatkan juara Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang diadakan pada 5 hingga 7 September lalu.

Mohamad Danish, 12, mencatatkan kejayaan membanggakan apabila memenangi dua pingat emas pada kejohanan berkenaan.

Mohamad Danish Daniel menerima hadiah kemenangan selepas memenangi acara individu.

Murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Api Api Kota Kinabalu itu memenangi acara individu dan berpasukan untuk kategori bawah 12 tahun lelaki.

Mohamad Danish berkata, dia mengharapkan kemenangannya dalam kejohanan itu akan membakar semangat kepada rakan-rakan pemain golf di negeri ini.

Katanya, ia boleh dijadikan sebagai pendorong kepada semua untuk terus memajukan diri masing-masing di dalam sukan berkenaan.

“Saya berharap akan terus dapat membawa dan mengharumkan nama Sabah dan Malaysia ke persada dunia dalam bidang sukan golf.

Mohamad Danish Daniel turut menjuarai acara berpasukan kategori bawah 12 tahun MSSM.

“Selain itu, saya juga mengharapkan pencapaian ini dapat membuka mata pihak-pihak yang berkaitan untuk mula menumpukan perhatian yang lebih dalam menaikkan mutu sukan golf di Sabah,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Danish berkata, dia juga berharap agar pihak kerajaan, syarikat atau NGO juga dapat membantunya dalam proses pembangunan sukan golf di negeri ini.

Sepanjang penglibatan dalam sukan golf, Mohamad Danish pernah menyertai pelbagai kejohanan golf antaranya kejohanan golf remaja Malaysia iaitu SportExcel Malaysian Junior Golf Circuit anjuran Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia.

Selain itu, Mohamad Danish turut pernah menyertai kejohanan golf remaja antarabangsa, Kids Golf World Championship Malaysia anjuran US Kids Golf.

Bagi tahun 2022, Mohamad Danish turut memenangi tempat pertama dalam kejohanan golf UUMISM-SportExcel Malaysian Junior Golf Tour 2022 dalam pusingan kedua dan ketiga berturut-turut yang berlangsung di Pasir Gudang, Johor dan Rawang, Selangor Darul Ehsan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|