Sandakan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri disambar buaya ketika menyeberang Sungai Seguntor dekat Taman Kenari, Batu 7, di sini, masih belum menemui sebarang petunjuk.
Mangsa dikenali sebagai Abdul, berusia dalam lingkungan 50 tahun belum ditemui sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil siasatan awal, seorang saksi memberitahu mangsa dilihat menaiki rakit yang diperbuat dari bambu untuk menyeberang sungai.
Katanya, ketika itu, mangsa hendak pulang ke rumahnya yang terletak dalam jarak 100 meter dari tebing sungai berkenaan.
“Ketika berada di atas rakit dan sedang menyeberangi sungai, mangsa dilaporkan disambar seekor buaya.
“Mangsa sempat menjerit meminta pertolongan sebelum tiba-tiba hilang dari pandangan saks,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Fuad berkata, polis sudah mengaktifkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di lokasi kejadian.
Katanya, SAR sedang giat dilaksanakan sejak semalam bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan penduduk kampung.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, SAR pada Sabtu memfokuskan radius pencarian di sepanjang sungai sejauh lima kilometer.
“Pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dengan menggunakan bot.
“Namun, masih belum menemui sebarang pentunjuk dan mangsa belum ditemui setakat ini,” katanya.
Terdahulu, Abdul dilaporkan hilang dipercayai disambar buaya ketika menyeberangi sungai di Sungai Seguntor dekat Taman Kenari, Batu 7, jam 8.30 malam semalam.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan cuba untuk menyeberang dengan menggunakan rakit di sungai berkenaan.
-Deasoka