PRU-15: Manifesto khas untuk Sabah dalam manifesto nasional

PRU-15: Manifesto khas untuk Sabah dalam manifesto nasional

Kota Belud: Barisan Nasional (BN) Sabah akan memasukkan beberapa manifesto khas untuk kepentingan Sabah dalam manifesto nasional yang akan dibuat BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata manifesto itu adalah satu strategi untuk kebaikan rakyat Sabah yang akan diumumkan nanti.

“Saya akan maklumkan nanti apabila tiba masa yang sesuai. Ianya satu strategi untuk kebaikan rakyat Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gelombang Biru BN Kota Belud dan Tuaran di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah memberi jaminan akan ada kejutan berkaitan perancangan untuk Sabah apabila manifesto berkenaan diumumkan.

Mengenai Program Gelombang Biru BN, Bung Moktar berkata, beliau melihat sambutan rakyat akar umbi yang menggalakkan sebagai tanda sokongan terhadap BN.

“Saya nampak sambutan rakyat akar umbi yang membanggakan dan momentum ini akan diteruskan hingga berdepan PRU-15. Saya cukup yakin, dengan kerja keras dan strategi yang tepat BN masih diterima rakyat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pertuduhan mahkamah yang dihadapinya, beliau mengakui ia satu cabaran, namun katanya beliau tidak mencampur-aduk perkara itu dengan urusan parti.

“Tidak dinafikan, ia menjadi satu kekangan tapi saya cuba asingkan masalah peribadi dan parti kerana apa yang lebih utama ialah parti.

“Saya sudah lama dalam politik, saya yakin boleh mengatasinya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|