BN Sabah masih runding kerjasama dengan GRS – Bung Moktar

BN Sabah masih runding kerjasama dengan GRS – Bung Moktar

Kota Belud: Barisan Nasional (BN) Sabah mengesahkan masih berunding dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mengelak pertembungan sesama sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata satu jawatankuasa khas sudah diwujudkan untuk melaksanakan rundingan berkenaan namun belum ada keputusan muktamad yang dicapai setakat ini.

Katanya, perbincangan itu masih diteruskan dan akan diselesaikan apabila tiba masanya.

“Kita akan cuba bekerjasama sejauh mungkin untuk mengelak pertembungan di antara BN dan GRS. Ia masih diteruskan dan akan diselesaikan apabila sampai masanya nanti.

“Perbincangan ini dilaksanakan melalui jawatankiasa khas tapi belum dimuktamadkan lagi sebab kita mahu lihat terlebih dahulu sokongan rakyat di bawah.

“Kita mahu lihat kekuatan BN dulu kerana untuk berunding kita mesti ada kekuatan, kalau tiada kekuatan tiada siapa mahu runding dengan kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Gelombang Biru BN Kota Belud dan Tuaran di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Yakub Khan; Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Ketua UMNO Kota Belud, Mohd Fadli Juanas.

Sebelum ini, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan UMNO dan BN bersetuju secara prinsipal untuk bekerjasama dengan GRS bagi menghadapi PRU-15.

Katanya, beliau sudah bercakap dengan pemimpin UMNO Sabah mengenai perkara itu dan ia mendapat maklum balas yang positif.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Ketua UMNO Sabah, berkata kemungkinan untuk bekerjasama dengan GRS memang ada.

“Kita akan berunding sebaik mungkin sebab kita mahu dapat situasi menang-menang, bermakna bukan seorang yang menang tetapi kemenangan bersama,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata UMNO dan BN Sabah juga bersiap sedia menghadapi kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan serentak dengan Parlimen walaupun tempohnya masih panjang.

Katanya, beliau mengambil pendirian bahawa dalam politik apa saja boleh berlaku dan menjadikannya sebagai sandaran untuk bersiap sedia dengan apa saja kemungkinan.

Mengenai soal calon, beliau berkata semua bahagian UMNO dan BN Sabah sudah menghantar senarai untuk dianalisa sebelum dihantar kepada Pengerusi BN Pusat.

Beliau turut menjelaskan pemilihan calon dilakukan oleh BN Sabah sendiri dan bukannya BN Pusat, namun pemberian watikah lazimnya dibuat Pengerusi BN.

“Jadi jangan bimbang, kita yang pilih calon. Calon juga sudah dikenal pasti tetapi kita belum dapat mendedahkannya lagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|