Segerakan RUU Anti Lompat Parti – UMNO Beluran

Segerakan RUU Anti Lompat Parti – UMNO Beluran

Beluran: UMNO Beluran meminta supaya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat parti dibentang dan diluluskan segera sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Beluran, Julie Sabran berkata, RUU itu sangat penting kepada rakyat dan pengundi kerana ia membabitkan soal kepercayaan dan integriti pemimpin.

Julie (tengah) membawa anak yatim dari Rumah Anak Yatim Al-Ehsan Beluran memilih pakaian baharu sempena Aidilfitri.

Beliau berkata, pihaknya menyokong penuh RUU berkenaan kerana ramai pengundi dalam kalangan ahli UMNO di Beluran pernah menghadapi situasi melompat parti apabila pemimpin yang diberikan kepercayaan tiba-tiba keluar melompat ke parti lain.

“Contohnya di Beluran, dulu Barisan Nasional (BN) lepas itu melompat parti. Jadi itu tidak baiklah kepada rakyat kerana rakyat memberi kepercayaan kepada wakil rakyat itu mewakili parti terbabit.

“Jadi adalah wajar dan wajib Akta Anti Lompat Parti diperkenalkan dan kita mahu RUU Anti Lompat Parti dibentangkan segera di Parlimen,” Katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Berbelanja Baru Raya dan Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dari Rumah Anak Yatim Al-Ehsan Beluran, di sini, kelmarin.

Katanya, beliau masih mendengar dan menerima keluhan pengundi di kawasan ini yang risau perbuatan melompat parti berleluasa.

Jelasnya, sehingga hari ini juga ahli UMNO Beluran masih trauma dengan perbuatan berkenaan dan sebab itu memohon supaya RUU berkenaan dibentang dan diluluskan segera.

“Akta baharu ini harus diperkenalkan supaya selepas PRU-15 nanti tiada lagi yang lompat-lompat parti.

“Ini kerana kebanyakan Ketua Cawangan, ahli UMNO ataupun rakyat Beluran, saya mendengar keluhan mereka, trauma kerana pemimpin ini kita wakilkan untuk mewakili kita tapi akhirnya dia melompat

“Jadi UMNO Bahagian Beluran menerusi persidangan UMNO bahagian membawa usul ini ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO sebafai tanda sokongan kita agar amalan melompat parti dihentikan,” katanya.

Katanya, dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan menolak perbuatan lompat parti dan meminta RUU itu disegerakan.

Justeru, pihaknya berharap perkara berkenaan dapat direaslisasikan dengan segera kerana sangat bermakna kepada pengundi khasnya di Beluran dan Sabah keseluruhannya.

RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan khas Parlimen hari ini, bagaimanapun ditangguhkan dan diganti dengan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|