Perodua Axia terbalik, langgar dua lembu

Perodua Axia terbalik, langgar dua lembu

Keningau: Seorang pemandu berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya terlanggar dua ekor lembu dalam kejadian di Jalan Pamalan berhampiran Lembaga Getah Keningau, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 37 tahun turut terbabit terbalik di atas jalan akibat kemalangan berkenaan.

Kenderaan yang dipandu mangsa terbalik di atas jalan selepas terlanggar dua ekor lembu. Pix Ihsan Bomba 

Difahamkan, kemalangan itu juga mengakibatkan kedua-dua ekor haiwan berkenaan mati di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa berjaya keluar sendiri daripada kenderaannya dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum ketibaan bomba.

“Pasukan bomba kemudiannya mengambil tindakan membuka kepala bateri kereta bagi langkah-langkah keselamatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.22 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|