Masalah murid gagal kuasai 3M perlu peranan semua pihak

Masalah murid gagal kuasai 3M perlu peranan semua pihak

Kota Kinabalu: Peranan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, komuniti dan pihak swasta penting dalam usaha menangani masalah kegagalan murid menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) di negeri ini.

Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Mohammad Arif Sakaran berkata, Sabah antara negeri tertinggi yang mana murid mengalami masalah 3M atau literasi dan numerasi terutama membabitkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua.

Katanya, berdasarkan data dua tahun lalu yang dikeluarkan KPM, terdapat 180 sekolah membabitkan hampir 12,000 murid mengalami masalah literasi dan numerasi di negeri ini.

“Itu data yang kita terima dua tahun lalu dan saya risau ketika pandemik Covid-19 ia menjadi lebih tinggi disebabkan kekangan yang dihadapi semasa pandemik.

“Sebab itu kita perlukan sokongan daripada semua pihak, macam kita sendiri orang Sabah kita tidak mahu negeri kita ketinggalan kerana kanak-kanak ini yang akan memimpin kita di masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita di Sembulan, di sini, semalam.

Diminta mengulas lanjut, masalah literasi dan numerasi di Sabah disebabkan beberapa faktor utama yang dikenal pasti oleh pihaknya.

“Antara sebabnya, Sabah negeri yang mempunyai keluasan yang besar berbanding di Kuala Lumpur, Selangor serta negeri lain.

“Daerah kita saja kalau mengikut PPD ada 24 daerah, jadi sebab itu di Sabah ini tinggi dan kebanyakannya hampir majoriti sekolah yang ada di Sabah ialah sekolah luar bandar.

“Selain itu, kita perlu memberi pemahaman kepada ibu bapa, kerana mungkin ada ibu bapa yang sibuk jadi mungkin dari situ bermulanya anak-anak keciciran dan mengalami masalah literasi serta numerasi,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Arif berkata, pihaknya merancang bersama dengan JPN untuk turun padang bersama-sama menangani masalah-masalah literasi dan numerasi ini.

“Sebelum ini saya sudah bersama-sama dalam libat urus bagi menangani masalah ini tetapi disebabkan pandemik banyak kekangan untuk kita meneruskan program tersebut.

“Kita lihat baru-baru ini negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik jadi kita boleh mulakan program itu dengan berbincang bersama PPD serta guru-guru besar di seluruh Sabah bagaimana untuk menanggani masalah literasi dan numerasi ini.

“Mungkin juga saya akan bawa pakar-pakar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk dilantik sebagai rakan strategik kerana kita pun mahu juga pandangan dari luar yang mana komuniti ibu bapa ini boleh berganding bahu bersama KPM, JPN untuk bersama-sama menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Katanya lagi, perlu ada kumpulan yang besar dan bukan dari satu pihak saja untuk menangani masalah kegagalan murid menguasai 3M itu terutama di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|