Kota Kinabalu: Kejayaan pasukan Sabah dalam dua siri kejohanan badminton Junior Elite Tour 2022 di Perlis dan Kedah, baru-baru ini, adalah satu perkembangan positif untuk Persatuan Badminton Sabah (SBA).
Presiden SBA, Janih Bangud berkata, pencapaian berkenaan sudah pasti hasil daripada sokongan padu semua pihak yang terlibat.

Katanya, kerjasama baik antara jurulatih dan ibubapa pemain juga memberi impak positif kepada pembangunan sukan badminton di negeri ini.
“Antaranya pencapaian terbaik pemain remaja negeri di peringkat kebangsaan adalah dalam siri pertama kejohanan Junior Elite Tour 2022 yang berjaya menduduki tempat kedua dengan lima emas, enam perak dan sembilan gangsa.
“Manakala dalam kejohanan siri kedua, pasukan Sabah menjadi johan dengan tujuh emas, lima perak dan sembilan gangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan SBA kali ke-67 di Hotel Dreamtel Kota Kinabalu, di sini, Sabtu lalu.
Janih berkata, usaha baik ini perlu diteruskan dalam memastikan pemain di negeri ini mampu berdaya saing bukan saja di peringkat kebangsaan malah seterusnya ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, dalam Mesyuarat Majlis SBA 03/2021-2025, Timbalan Presiden SBA, Tamin Zainal turut menyampaikan sumbangan kewangan dan baju korporat kepada semua Ahli Majlis Tertinggi SBA.
Tamin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis dan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri berkata, beliau akan sentiasa menyokong penuh usaha yang dilakukan SBA.
Katanya, kerjasama baik antara semua pihak akan dapat merangka masa depan yang lebih baik untuk pemain berbakat di negeri ini.
-Deasoka