Kuala Lumpur: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah dokumen asas dan ‘suci’ berkaitan pembentukan persekutuan Malaysia yang bermakna Malaysia tidak akan wujud jika tiada MA63.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata sehubungan itu tiada siapa yang harus mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia itu.
Katanya, mana-mana pandangan yang mencadangkan perjanjian baharu Malaysia adalah pandangan yang terpsong dari perjuangan nasionalisme negara.
“Apabila MA63 diabaikan ianya bermakna membelakangkan Persekutuan Malaysia. Pandangan sebegini sangat mengelirukan, jauh tersasar dan tidak selaras pindaan perlembagaan yang telah diluluskan di dalam dewan yang mulia ini yang mana MA63 kini telah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.
“MA63 amat penting kerana tanpanya tidak akan ada rujukan dan asas untuk membincangkan isu-isu yang dapat memberikan manfaat kepada Sabah dan Sarawak.
“Kita harus memberi tumpuan kepada perkara seperti sama ada perkara yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia telah dipatuhi dan sama ada hak itu ada yang masih belum dipenuhi maka tanggungjawab kita untuk sama-sama memastikan ianya dilaksanakan.
“Ini juga ditekankan dalam Artikel 8 Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN-Sepanggar) ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Azis bertanya mengenai pandangan kerajaan terhadap cadangan oleh beberapa ahli politik termasuk Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berhubung keperluan perjanjian baharu bagi menggantikan MA63 dan implikasinya kepada Sabah dan Sarawak jika MA63 digantikan dengan perjanjian baharu.
Maximus menambah, semua pihak sepatutnya bersatu padu membina kekuatan, keamanan dan perpaduan di negara ini demi generasi akan datang.
“Kita perlu elakkan bermain dengan semantik dan politik kerana ia tidak akan membawa lebih kebaikan daripada kemunduran khas dari segi kesatuan dan kesepaduan Keluarga Malaysia,” katanya.
-Deasoka