Kerajaan negeri beri penekanan aspek pendidikan dan modal insan

Kerajaan negeri beri penekanan aspek pendidikan dan modal insan

Kota Kinabalu: Aspek pendidikan dan modal insan menjadi antara agenda utama yang ditekankan oleh kerajaan negeri dalam memacu pembangunan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, ini kerana modal insan yang cemerlang dan berkualiti amat penting bagi menjayakan pelbagai dasar, agenda dan program pembangunan kerajaan seterusnya memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Hajiji beramah mesra bersama penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, Sabah memerlukan kepelbagaian dari segi modal insan bagi melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Justeru, pembangunan modal insan di Sabah tidak akan tertumpu dalam satu-satu bidang tertentu sahaja, kerana kita memerlukan kepakaran berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang yang lain.

“Dengan perubahan mendepani cabaran endemik Covid-19, di samping kebergantungan kepada industri pembuatan dan pertanian, negara kita turut berubah kepada industri digital. Semua gerak kerja dilaksanakan dalam talian dan ‘cashless’.

Hajiji menyampaikan Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) kepada penerima di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu.

“Bidang digital perlu diterokai dengan lebih meluas oleh anak-anak muda kita seiring dengan hala tuju negara,” katanya pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) siri ke-33 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Ini adalah ABCNS pertama yang dihadiri dan dirasmikan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah YS, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.

Seramai 40 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 terpilih menerima anugerah itu.

Hajiji menyeru kepada penerima ABCNS supaya memanfaatkan peluang keemasan itu untuk meningkatkan lagi tahap penguasaan ilmu, khususnya yang berkaitan dengan kreativiti dan inovasi untuk menjadi sebahagian pemangkin matlamat kerajaan negeri.

Katanya, sebagai pelapis masa depan negeri, ilmu yang diperoleh pelajar cemerlang akan dapat membantu membangunkan negeri ini.

Jelasnya, kerajaan negeri tetap mengutamakan agenda pembangunan pendidikan di samping mempelbagaikan program pendidikan dalam membantu menokok tambah usaha kerajaan persekutuan meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memastikan anak-anak Sabah tidak tercicir atau ketinggalan dalam bidang pendidikan demi menjamin masa depan mereka.

“Justeru, kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan SMJ memperkenalkan beberapa pakej insentif bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian.

“Pelaksanaan pakej insentif itu dijalankan melalui program bantuan pendidikan yang telah dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM24 juta pada 2021 seperti Program Bantuan Institusi Pengajian Tinggi, Program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Program Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Program Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI),” katanya.

Beliau berkata, pakej Insentif seperti BAIK, BAKTI dan BUDI juga diteruskan dan kerajaan turut menambah inisiatif bantuan berjumlah RM35 juta pada tahun ini.

Katanya, pada tahun ini juga, kerajaan negeri telah melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bertujuan memberikan bantuan pendidikan khusus kepada anak Sabah daripada golongan B40 bagi meningkatkan peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dengan dana permulaan sebanyak RM54.5 juta.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Yayasan Sabah (YS) kerana berjaya memperoleh pendapatan tertinggi dalam masa sembilan tahun kebelakangan ini dengan kutipan sebelum cukai untuk tahun 2021 sebanyak RM424 juta.

“Ini terbukti jika sesebuah organisasi itu ditadbir urus dengan baik di samping persekitaran luaran yang memberangsangkan, maka pulangan pendapatan lebih tinggi dapat diperoleh. Lebih tinggi pendapatan Kumpulan YS, maka lebih besarlah sumbangannya kepada rakyat di negeri ini.

“Saya juga berharap Badan-Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) yang lain akan mempamerkan prestasi yang baik demi memperkasa agenda kerajaan negeri untuk rakyat yang tercinta,” katanya.

Menyentuh mengenai ABCNS, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YS berkata, ia membuktikan komitmen berterusan dan kesungguhan kerajaan negeri melalui Kumpulan YS dalam memacu kecemerlangan pendidikan dengan melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dan berkualiti pada masa hadapan.

Menurutnya, sehingga hari ini, seramai 675 orang anak-anak Sabah menerima manfaat daripada biasiswa yang berprestij itu dengan perbelanjaan berjumlah RM115.8 juta.

Selain itu, katanya kerajaan juga menyalurkan peruntukan yang besar untuk memperkasa dan meningkatkan pembangunan serta infrastruktur pendidikan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|