ESSCOM lancar Op Gasak Laut, banteras bagang haram

ESSCOM lancar Op Gasak Laut, banteras bagang haram

Kota Kinabalu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan melaksanakan Operasi GASAK Laut (Bagang) secara bersepadu, Khamis ini.

Operasi yang membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Taman-Taman Sabah (TTS) dan Jabatan Perikanan Sabah itu diadakan bagi merobohkan struktur bagang yang dibina secara haram di perairan Daerah Kudat.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, berdasarkan pemantauan pihak berkuasa mendapati, pembinaan bagang- bagang haram itu semakin bertambah di perairan berkenaan.

Katanya, ia dibimbangi akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara serta kesejahteraan masyarakat khususnya di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

“Operasi akan dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 48 (1)(j), Enakmen Taman- Taman Sabah 1984 (Pindaan 2007), Seksyen 11(3)(c), Akta Perikanan 1985 dan undang-undang lain yang berkaitan.

“Selain itu, pihak penguatkuasa Taman-Taman Sabah dan Jabatan Perikanan Sabah juga akan mengeluarkan Notis Pengosongan dan Perobohan ke atas bagang-bagang haram semasa operasi dilaksanakan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hamzah berkata, mana-mana pihak yang mempunyai bagang haram di sepanjang perairan pantai timur Sabah dinasihatkan untuk segera mengosongkan dan merobohkan struktur berkenaan sebelum diambil tindakan.

Sehubungan dengan itu, Hamzah berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan struktur atau bagang haram boleh di perairan ESS Zone melaporkan segera ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan menerusi aplikasi Whatsapp di talian 011- 63311072.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|