Pelaburan domestik GLC mampu tingkat ekonomi negara

Pelaburan domestik GLC mampu tingkat ekonomi negara

Kota Kinabalu: Pelaburan domestik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mampu meningkatkan ekonomi negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, ekoran pandemik Covid-19, pergerakan di dalam dan luar negara yang terbatas serta prosedur operasi standard (SOP) sejak Mac 2020 telah memberi kesan yang amat dahsyat kepada ekonomi global.

“Malah, walaupun kita telah diisytihar memasuki fasa endemik, kesannya masih dirasai sehingga hari ini.

“Semua ini telah mengakibatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan di dalam pasaran menurun secara signifikan.

“Akibatnya, produksi barangan berkurangan, pendapatan firma-firma perniagaan serta isi rumah menurun,” tulisnya dalam Facebook rasmi beliau hari ini.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, berkata situasi itu turut menyumbang kepada hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terjejas teruk.

“Sesetengah negara yang bergantung tinggi terhadap sektor pelancongan seperti Maldives sebagai contoh mencatatkan pertumbuhan KDNK negatif melebihi 30 peratus.

“Ramai sarjana telah memberikan pandangan bahawa intervensi ekonomi seperti pakej rangsangan fiskal adalah penting untuk melawan keadaan ekonomi yang perlahan dan menekankan bahawa peranan pihak kerajaan adalah sangat penting,” katanya.

Bagaimanapun, Salleh berkata, secara realitinya, negara lain di seluruh dunia turut mengalami keterbatasan keupayaan kewangan dalam melawan keadaan ekonomi yang perlahan dengan meningkatkan perbelanjaan di dalam ekonomi.

“Justeru, di sudut yang lain, ada yang berpandangan bahawa sektor swasta, terutamanya syarikat-syarikat yang besar seperti syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia serta syarikat-syarikat milk kerajaan (GLCs) perlu turut sama memainkan peranan dalam menyokong proses pemulihan ekonomi.

“GLC perlu memainkan peranan dengan melabur dalam pelbagai aktiviti ekonomi pada ketika ini,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan antara sebab utama mengapa GLC perlu melabur.

“Antaranya, keterbatasan kewangan sektor awam untuk terus membuat perbelanjaan yang tinggi dalam jangka masa panjang.

“Justeru, pelaburan di dalam sektor-sektor strategik yang terjejas teruk seperti pelancongan boleh membantu merangsang aktiviti sektor berkenaan dan mengelakkan sesetengah perniagaan daripada gulung tikar.

“Tanpa pelaburan-pelaburan ini, ia boleh menyebabkan sesetengah syarikat-syarikat yang lebih kecil gulung tikar. Pada awal tahun 2020 iaitu Januari 2020, jumlah pengunjung yang mengunjung Sabah adalah lebih 300,000.

“Bayangkan jika tiap-tiap pengunjung membelanjakan hanya RM1,000 setiap orang. Ini bermakna, kerugian perbelanjaan di dalam pelbagai rantaian ekonomi menurun lebih RM300 juta sebulan. Dengan adanya pelaburan dari GLC, impak dahsyat Covid-19 dan kelembapan ekonomi semasa dapat diminimakan, atau dalam bahasa Inggerisnya to cushion the impact,” katanya.

Selain itu, Salleh berkata, pelaburan besar dari GLC berupaya membantu meningkatkan perbelanjaan dan permintaan di dalam ekonomi.

“Justeru, peningkatan pendapatan isi rumah dan firma-firma perniagaan serta hasil kutipan cukai kerajaan dan penurunan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia pada tahun 2020.

“Pelaburan dari GLC menyokong proses pemulihan ekonomi negara yang diusahakan pihak kerajaan. Apabila pandemik melanda dunia, jumlah pelaburan langsung asing yang memasuki negara mencatatkan penurunan yang sangat tinggi.

“Sebagai contoh, pada tahun 2020 sahaja, jumlah FDI yang memasuki Malaysia dilaporkan telah turun melebihi 50 peratus dari tahun sebelumnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk melawan keadaan yang perlahan pelaburan langsung domestik perlu ditingkatkan untuk melawan mengimbangi kekurangan pelaburan langsung asing.

“Oleh itu, GLC boleh memainkan peranan penting,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|