SAYAP memperkasa pembangunan modal insan tempatan – Hajiji

SAYAP memperkasa pembangunan modal insan tempatan – Hajiji

Kota Kinabalu: Penubuhan Sabah Young Entrepreneurs and Professionals Foundation (SAYAP) sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam membina modal insan berkualiti melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau teruja melihat bahawa kumpulan itu terdiri daripada golongan profesional dan usahawan daripada pelbagai industri.

“Saya gembira apabila mengetahui bahawa SAYAP merangkumi profesional dan usahawan daripada pelbagai bidang.

“Antaranya ialah Minyak dan Gas, Teknologi Digital, Ekonomi dan Kewangan, Perubatan, Pembinaan dan Seni Bina, Tenaga Mampan dan Boleh Diperbaharui, Usahawan Sosial serta penjawat awam negeri yang muda.

“Sebahagian besar daripada anda sudah berjaya dengan sendirinya, justeru, saya sangat menyokong pembentukan SAYAP sebagai kumpulan bebas untuk menyumbang kepada pembangunan Sabah. Syabas!,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran SAYAP di Hotel Marriot, hari ini.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Dalam pada itu, katanya, beliau kagum dengan inisiatif ini dan semangat sekumpulan anak muda Sabah yang telah pulang, sama ada dari bekerja atau belajar di luar negara, dan ingin menyumbang dan mengambil bahagian secara sukarela dalam pembangunan negeri ini.

“Saya memuji dan menyokong inisiatif SAYAP untuk memulakan dan memberikan suara kepada generasi profesional dan usahawan tempatan yang akan datang ini.

“Saya gembira mendengar bahawa SAYAP berhasrat untuk menjadi jambatan antara agensi kerajaan negeri dan merentasi sektor swasta dan industri sambil menyokong Hala Tuju SMJ negeri ini.

“Saya ingin dengar daripada SAYAP dan semua anak muda di negeri ini, serta menawarkan sebuah platform yang boleh memperkasa golongan profesional dan usahawan muda untuk memberi sumbangan terhadap pembangunan Sabah,” katanya.

Menurut Hajiji, Sabah mempunyai populasi kedua terbesar di Malaysia, ini bermaksud negeri ini mempunyai kumpulan bakat dan bakal yang besar.

“Namun begitu, Kerajaan Negeri mengakui isu penting ‘brain drain’. Sebagai ketua eksekutif negeri, saya telah menekankan dan mengutamakan kepentingan modal insan dan menjadikan ia sebagai salah satu teras utama Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ.

“Kita komited untuk membasmi isu ini dan membina kekuatan dan kemahiran melalui pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak RM175.61 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 untuk modal insan dan pembangunan ICT, melalui pelbagai inisiatif untuk menarik minat pelajar dalam Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antara lain.

Jelasnya, peruntukan itu juga membabitkan usaha merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar untuk meluaskan liputan digital dan memacu transformasi digital di Sabah.

Tambahnya, pembangunan ICT di negeri ini juga akan diberi penekanan dan Sabah Skills and Technology Centre akan memperkenalkan inisiatif untuk membangun dan menyokong pembangunan industri digital sambil meneruskan latihan teknologi Revolusi Industri 4.0 sepanjang tahun depan.

“Pada masa yang sama, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) akan turut meneruskan program mereka, bagi memastikan modal insan negeri ini terus diperkasa.

“Satu lagi pencapaian dalam usaha membangunkan modal insan tempatan ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Petronas dan Yayasan Universiti Kolej Sabah (UCSF) pada Oktober tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu, menerusi kolaborasi ini, beliau berkata, UCSF akan menawarkan kursus berasaskan Minyak dan Gas bagi melahirkan lebih ramai pelajar tempatan dalam pelbagai bidang dalam sektor ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|