Ewon tekad bangkit isu Sabah

Ewon tekad bangkit isu Sabah

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, berkata beliau akan memanfaatkan kedudukannya sebagai wakil Sabah dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan untuk membangkitkan isu berkaitan rakyat Sabah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata akan bekerjasama dengan rakan Kabinet lain bagi mencari penyelesaian terhadap isu Sabah, khususnya yang berkaitan dengan hak negeri ini.

“Sebagai seorang daripada dua wakil dari Sabah, saya akan melihat ke hadapan untuk membangkitkan isu berkaitan rakyat Sabah dan akan bekerja bersama rakan Kabinet untuk mencari penyelesaian, khususunya berkaitan hak Sabah.

“Saya juga akan memberi perhatian serius kepada kawasan yang saya wakili iaitu Parlimen Penampang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian kerana masih banyak pembangunan yang perlu diberikan perhatian di bawah kerajaan baharu persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam maklum balas mengenai pelantikannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Ewon, 39, turut bertekad untuk sama-sama rakan Kabinet lain dalam membina negara.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai antara 28 menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, Ewon berkata beliau bersyukur dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada Kabinet baharu persekutuan.

Katanya, sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, tugas pentingnya adalah untuk membangunkan bidang keusahawanan dan koperasi.

“Saya melihat ke hadapan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya.

Selain Ewon, seorang lagi wakil Sabah ialah Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|