Jumlah kecil wakil Sabah sedikit mengecewakan

Jumlah kecil wakil Sabah sedikit mengecewakan

Kota Kinabalu: Jumlah kecil wakil dari Sabah dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan sedikit mengecewakan, kata Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS), Mazlan @ Joehari Manan.

Berikutan itu, beliau berharap ada lagi lantikan lain pemimpin dari Sabah selepas ini bagi memastikan lantikan yang seimbang untuk memberi gambaran sebenar konsep Kerajaan Perpaduan.

“Semoga akan ada lantikan dan tanggungjawab yang lebih signifikan kepada wakil-wakil Sabah dalam kerajaan dan Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kemudiannya nanti yang mampu membawa bersama aspirasi rakyat negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sabah hanya diwakili dua wakil dalam Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti diumumkannya malam tadi.

Mereka ialah Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick (PH-UPKO) dan Datuk Armizan Mohd Ali (GRS), masing-masing memegang portfolio Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Mengulas pelantikan mereka, Mazlan berkata sebagai wakil anak muda belia di Sabah, MBS menyokong penuh pelantikan Ewon dan Armizan selaku Ahli Parlimen muda dari negeri ini.

“Aspirasi perjuangan mereka sebelum ini sudah tentu mampu membawa perubahan yang ingin direalisasikan dalam kerajaan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri malam tadi mempunyai pelbagai latar belakang dengan gabungan muka lama dan baharu.

“Sungguhpun begitu, dengan kepelbagaian tersebut diharapkan Kabinet ini mampu membawa perubahan dan reformasi kerajaan baharu demi Malaysia yang lebih baik untuk masa depan.

“Cabaran YAB PM dan kerajaan baharu ini adalah dalam merealisasikan apa yang telah dijanjikan sebelum pilihan raya.

“Anak muda dan rakyat secara keseluruhannya akan melihat apa perubahan yang mampu kerajaan baharu ini laksanakan dan bagaimana mereka mampu membentuk dasar-dasar kerajaan yang akhirnya membawa negara ke era baharu dan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat sesuai dengan perubahan zaman,” katanya.

Katanya, sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan dengan aspirasi kepada perubahan sistem tadbir urus kerajaan yang lebih baik, anak muda dan rakyat di Sabah memohon agar lebih banyak perubahan yang mampu dibawa dan dilakukan kerajaan persekutuan kepada hak dan kepentingan rakyat negeri ini.

“Peluang telah dihidangkan dan amanah harus dipertanggungjawabkan, kami sentiasa berharap agar kerajaan baharu ini mampu membawa perubahan kepada negara ke era baharu demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Mazlan turut menyifatkan Kabinet yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan ras negeri itu masih mempunyai kelompongan era reformasi.

Katanya, ia termasuk penyenaraian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang bukan seperti diharapkan oleh rakyat kebanyakan.

Bagaimanapun, katanya barisan nama baharu menteri penuh dalam Kabinet Anwar diharapkan mampu membawa perubahan dan reformasi yang dilaungkan sebelum ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|