Bukan mudah membentuk Kabinet – Salleh Said Keruak

Bukan mudah membentuk Kabinet – Salleh Said Keruak

Kota Kinabalu: Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam bukan sesuatu yang mudah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata paling sukar adalah untuk memuaskan hati semua pihak.

“Sesungguhnya, pembentukan Kabinet ini bukanlah mudah lebih-lebih lagi untuk memuaskan hati semua pihak.

“Banyak perkara perlu diambil kira terutamanya soal parti dan hierarki selain kemahiran, wilayah, kaum dan agama.

“Semuanya diambil kira untuk jadi pertimbangan dalam membuat keputusan. Akhirnya keputusan dibuat dan ia merupakan prerogative Perdana Menteri,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook beliau, hari ini.

Bagaimanapun, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri, berkata Kabinet bukanlah kekal selama-lamanya kerana penilaian sudah pasti akan dibuat dari masa ke masa.

Jelasnya, prestasi setiap kementerian juga harus dipantau untuk memastikan kelancaran pentadbiran.

“Untuk berkhidmat, orang politik seharusnya sedar. Tanpa jawatan kita masih lagi boleh jalankan tanggungjawab berkhidmat untuk rakyat.

“Bahkan, pembangkang juga main peranan untuk memastikan ketelusan dalam pemerintahan yang demokrasi,” katanya.

Beliau sebelum itu mengucapkan tahniah atas pelantikan 28 jemaah menteri Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, termasuk dua wakil dari Sabah.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah itu turut menyifatkan barisan Kabinet kali ini penting untuk kestabilan dan kemakmuran negara.

“Semoga dengan barisan baharu ini ia akan memulihkan ekonomi dan kestabilan politik negara.

“Tahniah juga buat YB Ewon Benedick yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan YB Armizan Mohd Ali yang dilantik sebagai menteri JPM yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak.

“Saya juga lihat banyak muka-muka baharu dalam Kabinet yang bakal menggalas tugas yang berat dengan amanah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|