Amanah yang datang bersama cabaran, tanggungjawab – Armizan

Amanah yang datang bersama cabaran, tanggungjawab – Armizan

Kota Kinabalu: Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) satu amanah yang datang bersama tugas mencabar serta tanggungjawab menarik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, selain menjadi pengalaman pertama berada dalam Kabinet Persekutuan, portfolio itu berkait langsung dengan suara hati rakyat di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.

“Aspirasi Borneo yang mengharapkan kedua-dua wilayah ini diberikan perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya dalam agenda mengisi serta memperkukuhkan kelestarian Persekutuan Malaysia.

“Ini juga merupakan tanggungjawab yang menarik kerana amanah ini amat dekat dengan inti pati perjuangan saya sejak sekian lama khususnya dalam arena politik.

“Antara agenda utama adalah untuk menyusul agenda yang berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Armizan berkata, pengalaman yang telah beliau perolehi sebelum ini diharap dapat membantu beliau menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan itu.

“Bukan sahaja saya telah mendapat pendedahan dan terlibat dalam perihal tanggungjawab ini semasa berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Sabah sejak tahun 2020 di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

“Tetapi juga pengalaman bekerjasama dengan pasukan Pejabat Menteri di JPM (Sabah dan Sarawak) sebelum ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Maximus Ongkili.

“Saya yakin sedikit pengalaman ini akan dapat membantu pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Menteri di JPM (Sabah & Sarawak) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

Terdahulu, Armizan telah diumumkan sebagai salah satu daripada dua wakil Sabah yang menjadi wajah baharu dalam barisan kabinet Kerajaan Perpaduan.

Seorang lagi ialah Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|