Warisan tidak kejar jawatan, tapi utamakan tuntutan hak Sabah – Azis Jamman

Warisan tidak kejar jawatan, tapi utamakan tuntutan hak Sabah – Azis Jamman

Kota Kinabalu: Parti Warisan (Warisan) wajar membuktikan kepada rakyat Malaysia dan Sabah khususnya, bahawa mereka bukan parti yang mengejar jawatan semata-mata.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, sebaliknya mereka berprinsip pada asas perjuangan iaitu mengutamakan terhadap tuntutan hak-hak Sabah.

Justeru, katanya, sudah pasti ingin melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melaksanakan janjinya menunaikan tuntutan Sabah dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita boleh memberikan masa kepada beliau untuk mencerakin dan menulusuri sejarah perjanjian MA63 ini dan menunaikan serta melaksanakan apa yang telah di persetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan Sabah. Namun, ia tidak sewajarnya memakan masa yang lama kerana perjanjian ini adalah perjanjian antarabangsa yang sah dari segi undang-undang.

“Kita sewajarnya memberikan peluang kepada beliau untuk mengurus pentadbiran negara, menjayakan reformasi yang dijanjikan kepada rakyat dan negara dan dalam konteks Sabah, menunaikan dan melaksanakan MA63 sebagaimana yang telah di janjikan. Masa akan menentukan sama ada janji akan terkota,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas komen segelintir penyokong Warisan yang kecewa kerana tiada representasi di dalam Kabinet persekutuan.

Bagaimanapun, katanya keputusan yang telah dibuat itu perlu dihormati dan tidak timbul soal ketidakpuasan hati.

“Saya berpandangan, siapapun yang dilantik itu merupakan Prerogatif Perdana Menteri yang patut dihormati dan tidak sepatutnya timbul lagi soal kecewa.

“Ini kerana rakyat Sabah telah diberikan peluang untuk mengundi dan memilih dan rakyat telah memilih dan mengundi mengikut apa yang mereka yakin dan percaya boleh membantu Sabah.

“Dan terbukti mereka lebih mempercayai keupayaan parti-parti yang berpusat di Semenanjung Malaysia berbanding parti yang beribupejabat di Sabah dalam memperjuangkan hak dan kepentingan mereka.

“Fokus seharusnya di berikan kepada usaha untuk membantu rakyat kerana ramai rakyat yang terkesan dengan kegawatan ekonomi negara yang agak membimbangkan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi setiap hari,” katanya.

Sehubungan itu, sambil menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan Kabinet yang telah diumumkan, Azis berkata, mereka perlu terus memulakan fokus kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara.

“Selain itu juga, menurunkan kos sarah hidup rakyat dan yang lebih utama berusaha untuk mengembalikan semua keyakinan pelabur asing untuk kembali melabur di Malaysia.

“Cabaran di hadapan tidak mudah bagi barisan kabinet yang baru dibentuk ini untuk memulihkan keadaan ekonomi negara yang di sarati dengan beban hutang yang banyak melebihi RM 1 trilion ringgit,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada para penyokong parti Warisan untuk terus tenang dan sabar.

“Kita perlu melakukan kaji selidik untuk mencari di mana kelemahan dan kesilapan yang wajar kita perbaiki untuk memastikan agar Warisan kekal relevan di negeri Sabah.

“Ini agar pada pilihanraya yang akan datang, Warisan boleh memperbaiki pencapaiannya dan mendapat keyakinan rakyat.

“Kita perlu menerima kekalahan dengan hati yang terbuka kerana hak rakyat untuk menentukan siapa yang mereka perlu undi,” katanya.

Tambah beliau, Warisan merupakan sebuah parti yang agak muda yang pastinya punya masa depan yang jauh lebih cerah jika pemimpin akar umbi dapat memperbaiki kelemahan yang ada.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|