Sayap Bersekutu BERSATU dapat sambutan baik masyarakat bukan Bumiputera

Sayap Bersekutu BERSATU dapat sambutan baik masyarakat bukan Bumiputera

Kota Kinabalu: Majoriti masyarakat bukan Bumiputera, khususnya di Sabah menginginkan sebuah platform politik baharu yang baik dan bersifat inklusif untuk manfaat semua rakyat negeri ini.

Ketua Penaja Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen, berkata, setakat ini Sayap Bersekutu BERSATU mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat bukan Bumiputera di negeri ini.

Ketua Penaja Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen

Menurutnya, rata-rata mereka melihat ia sebagai platform terbaik untuk berkecimpung dalam bidang politik.

“Ketika jelajah saya di seluruh negeri, di Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kota Kinabalu, Keningau, Tenom dan Ranau, saya nampak ada tarikan daripada kaum bukan Bumiputera untuk menyertai Sayap Bersekutu BERSATU.

“Mereka menganggap sayap ini satu platform yang amat baik untuk berkecimpung dalam bidang politik, khususnya di Sabah,” katanya, di sini, semalam

Jelasnya, beliau turut menerima sambutan amat baik daripada kesemua lapisan umur, daripada golongan tua dan muda.

Sementara itu, mengenai sambutan Tahun Baharu Cina 2022 yang tidak lama lagi, Roland turut menyeru kepada masyarakat Cina untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya menyarankan supaya masyarakat di seluruh Sabah khasnya dan di Malaysia amnya untuk terus mematuhi SOP yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kelonggaran sudah diberikan yang mana walaupun tiada rumah terbuka, namun perayaan boleh disambut secara sederhana,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik keputusan kerajaan negeri untuk membuat kelonggaran bagi tarian singa pada tahun ini dengan pematuhan SOP yang ketat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|