Dua maut, dua cedera termasuk bayi dalam kemalangan

Dua maut, dua cedera termasuk bayi dalam kemalangan

Kota Belud: Dua maut manakala tiga cedera termasuk seorang bayi selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kampung Taun Gusi, Jalan Kota Belud – Kota Marudu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 20 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian selepas kereta Proton Saga yang dipandu merempuh sebuah pikap dari arah bertentangan.

Manakala seorang lagi penumpang wanita berusia 20-an dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan mendapati kereta Proton Saga dipandu mangsa bersama tiga penumpang termasuk bayi perempuan bergerak dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pemandu Proton Saga dipercayai memotong sebuah kenderaan dihadapan dan cuba masuk semula ke lorong.

“Dalam masa yang sama, sebuah pikap Isuzu keluar simpang lalu menyebabkan mangsa hilang kawalan dan terlanggar belakang pikap.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabas dan masuk ke longkang di sebelah kiri dan kanan bahu jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrudin berkata, mayat mangsa dan penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Kota Belud untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hari ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|