Kerajaan GRS perlu diperkukuh, dikekalkan – Jasnih

Kerajaan GRS perlu diperkukuh, dikekalkan – Jasnih

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru berusia lebih setahun perlu terus diperkukuhkan selaras dengan mandat yang diberikan rakyat negeri ini.

Perkara itu ditekankan Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya yang berpendapat usaha memperkukuh GRS penting demi kebaikan negeri dan rakyat.

Jasnih bertemu mesra bersama peniaga Cina di Pekan Tuaran.

Katanya, kerajaan GRS juga perlu diperkuatkan dengan fokus utama membela kesejahteraan rakyat dan membangunkan negeri ini.

“GRS merupakan nadi kepada kerajaan negeri hari ini, justeru kita perlu terus perkukuhkan dan mantapkan kerajaan sedia ada.

Jasnih mengagihkan kad dan limau Mandarin ketika mengadakan ‘walkabout’ CNY di pekan Tuaran.

“Ini juga selaras dengan seruan dan kehendak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Beliau mahu kerajaan GRS terus dipertahankan dalam apa juga keadaan sekalipun,” katanya selepas ‘walkabout’ sempena Tahun Baharu Cina (CNY) dan mengagih-agihkan kad CNY serta limau Mandarin di Pekan Tuaran, hari ini.

Jasnih mengulas kenyataan Bung Moktar semalam yang mengulangi pendiriannya untuk mempertahan kerajaan GRS dalam apa juga keadaan untuk mengelakkan berlaku pilihan raya negeri (PRN).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit turut menyokong kenyataan Bung Moktar mengenai fokus utama kerajaan GRS bagi membangun negeri Sabah dan membela nasib rakyat ketika negeri dan negara dalam pasca pandemik Covid-19.

Katanya, pemimpin parti komponan dalam GRS juga perlu mengurangkan ‘politiking’, sebaliknya memberi fokus kepada usaha membantu rakyat dan membangunkan negeri.

Menurutnya, rakyat telah memberi mandat kepada GRS mentadbir negeri ini, dan mereka mahu pemimpin kerajaan GRS menunaikan amanah itu dengan penuh tanggungjawab.

“Sebarang usaha oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menggugat kestabilan politik sedia ada di Sabah di bawah kerajaan GRS harus ditolak,” tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata Retreat Wakil Rakyat dan Pemimpin Kerajaan GRS yang akan diadakan bulan depan adalah antara pendekatan untuk memantapkan lagi persefahaman, perpaduan dan kerjasama dalam keluarga GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|