Pasar tamu bantu petani, usahawan jana pendapatan

Pasar tamu bantu petani, usahawan jana pendapatan

Kota Kinabalu: Pembukaan pasar tamu di setiap kawasan bukan saja memudahkan penduduk mendapatkan bekalan makanan tetapi juga membantu petani dan usahawan menjana pendapatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan berkata, pembukaan pasar tamu juga akan memberi manfaat kepada usahawan seperti kraftangan dan makanan.

Yakub meninjau University yang membuat ‘Pameran Pendidikan’ untuk pengunjung.

Oleh itu katanya, semua pihak seharusnya mengambil peluang bagi menjana pendapatan sampingan keluarga.

“Hari ini, saya lihat sambutan yang diterima pusat tamu ini amat menggalakkan, banyak barang-barang yang boleh didapati di sini membabitkan hasil tani, makanan dan kraftangan.

“Saya harap, usaha mewujudkan pasar tamu seperti ini akan diteruskan bukan saja di kampung ini tetapi juga di lokasi-lokasi lain,” katanya ketika ditemui selepas selesai meninjau pasar tamu Kampung Kobuni, di sini, hari ini.

Yakub berkata, beliau sudah berbincang dengan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menganjurkan lebih banyak pasar tamu terutamanya di kawasan kampung di Karambunai dan Sepanggar.

Sementara itu, seorang penjual yang ditemui, Misinah Latiff berkata, pasar tamu berkenaan amat membantunya untuk memasarkan makanan tradisi.

Katanya, selain bertemu lebih ramai pelanggan secara bersemuka, ia juga memudahkannya mendapatkan bahan asas untuk produk jualannya.

“Saya bukan saja dapat jual makanan tradisi yang sudah diproses malah di sini juga saya membeli bahan asas seperti tuhau,” katanya.

Sementara itu, pasar tamu berkenaan turut disertai agensi kerajaan dan pusat pendidikan swasta City University yang membuat ‘Pameran Pendidikan’ untuk pengunjung.

Lyidia Majuna

Kaunselor Pendidikan City University Malaysia, Lyidia Majuna berkata, tujuan ia diadakan di pasar tamu berkenaan adalah bagi memperkenalkan pusat pembelajaran itu kepada masyarakat umum.

Katanya, ia juga bagi mendapatkan pelajar terutamanya anak muda yang berminat untuk menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

“City University Malaysia merupakan Panel University Yayasan Bumiputera Sabah (YBS) yang terletak dibawah Jabatan Ketua Menteri Sabah.

“Kerjasama ini bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa pelajar yang terkesan kerana pandemik Covid-19. Biasiswa turut disediakan daripada YBS kepada pelajar yang layak,” katanya.

Menurutnya, usaha pameran dan konsultasi pendidikan secara percuma di pasar tamu itu juga diharap akan dapat membantu mencapai sasaran bilangan pelajar bagi melayakkan university ini membuka cawangan pengajian di Sabah.

Maklumat lanjut berkaitan pengajian di City University Malaysia pelajar dan ibu bapa boleh menghubungi Pengurus Pengambilan Pelajar City University Malaysia, Sabah, Mohamad Hafez Rashidi di talian 013-4601338.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|