Lelaki selamat kereta tersangkut selepas terbabas ke gaung

Lelaki selamat kereta tersangkut selepas terbabas ke gaung

Tuaran: Seorang lelaki bernasib baik apabila kereta dipandunya terbabas sebelum tersangkut daripada terus terjunam ke gaung dalam kejadian di Kampung Rangalau Lama, Kiulu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 27 tahun yang memandu kereta Proton Saga itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan di tengah gaung berkenaan dalam keadaan terbalik.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.34 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, terdapat sebuah kereta Proton Saga terbabas sendiri lalu terjatuh ke gaung sedalam 10 meter. Terdapat seorang lelaki (pemandu) telah keluar sendiri daripada kenderaan dan mengalami cedera ringan.

“Pasukan bomba bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa dan seterusnya membawa mangsa ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, operasi tamat kira-kira jam 6 petang tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|