Hajiji ajak masyarakat Cina bangunkan Sabah bersama kerajaan

Hajiji ajak masyarakat Cina bangunkan Sabah bersama kerajaan

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak masyarakat Cina di Sabah untuk bersama-sama kerajaan negeri membangunkan negeri dan memastikan kejayaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang dirayakan esok, Hajiji berkata, walaupun berdepan tempoh yang mencabar disebabkan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, ia terpaksa diterima dengan tabah.

“Semoga Tahun Harimau akan menjadikan negeri kita terus bergerak maju ke hadapan dan rakyatnya hidup dengan aman dan harmoni,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga sentiasa menyokong dan menggalakkan masyarakat Cina di negeri ini untuk menganjurkan aktiviti kebudayaan, termasuk perayaan Tahun Baharu Cina.

Jelasnya, Tahun Baharu Cina juga dirayakan bersama oleh masyarakat suku kaum lain tanpa mengira agama yang menjadikan negeri ini unik dan model terbaik konsep Keluarga Malaysia.

Bagaimanapun, Hajiji mengingatkan rakyat negeri ini supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19 sepanjang musim perayaan ini.

“Mewakili kerajaan negeri dan keluarga, saya mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Cina di negeri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|