Jagung bakar ‘panas-panas’ jadi tumpuan gerai Kampung Manggaris

Jagung bakar ‘panas-panas’ jadi tumpuan gerai Kampung Manggaris

Kota Marudu: Dibakar dengan kayu api sebelum dijual ‘panas-panas’ menjadikan jagung bakar Kampung Manggaris yang harum dengan ‘aroma’ meliurkan sering menarik perhatian orang ramai yang melalui Jalan Kota Kinabalu-Kota Marudu, di sini.

Dijual di gerai tepi jalan Kampung Manggaris yang beroperasi hampir 20 tahun, kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu, jagung bakar cukup popular di samping jualan lain seperti buah-buahan yang menggamit orang ramai untuk singgah membelinya.

Dailin memanggang jagung manis untuk dijual kepada pelanggan yang singgah ke gerainya di Kampung Manggaris, Kota Marudu.

Menurut peniaga, Dailin Mosorod, 31, yang sudah 14 tahun berniaga di gerai Kampung Manggaris mengakui gerainya sering menjadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke daerah ini untuk membeli jagung bakar yang dijualnya.

“Biasanya kami akan menjual jagung manis dan jagung pulut yang sudah dipanggang atau yang mentah kepada pengunjung yang singgah ke gerai kami.

Pengunjung dari Kota Kinabalu singgah membeli jagung bakar di gerai Kampung Manggaris, Kota Marudu.

“Kalau jagung yang sudah dipanggang, pelanggan lebih suka menikmatinya di sini juga selepas dipanaskan menggunakan bara kayu api atau ada juga yang sekadar singgah untuk membeli dan makan di dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya lagi, sejak dari dulu mereka hanya menggunakan kayu api untuk memanggang atau membakar jagung dan tidak berhasrat untuk menukarnya kepada dapur gas.

Jagung dipanggang menggunakan kayu api bagi menaikkan lagi aroma jagung bakar di Kampung Manggaris, Kota Marudu.

“Walaupun sekarang semakin sukar mendapatkan kayu api dan mahal namun kami masih menggunakannya kerana aroma jagung yang dipanggang menggunakan kayu api lebih sedap dan wangi berbanding menggunakan dapur gas.

“Lagipun jika guna kayu api, baranya akan bertahan lebih lama dan boleh digunakan sepanjang hari,” katanya.

Sementara itu, kakaknya pula, Marni, 42, yang berniaga di gerai lain turut berkata, setiap hari mereka akan menjual antara 150 hingga 200 biji jagung.

“Kalau dulu, sebelum pandemik Covid-19 melanda, kami dapat menjual sehingga 1,000 biji jagung sehari kerana gerai dibuka sehingga tengah malam.

“Tetapi kini kami terpaksa hadkan selain pelancongpun berkurangan, hanya bergantung kepada pelancong dalam negeri saja yang singgah ke gerai kami,” katanya.

Gerai menjual jagung di kampung terbabit dibuka seawal jam 8 pagi sehingga jam 8 malam dengan seikat jagung mengandungi tiga biji dijual pada harga RM5.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|